Sunday, May 24, 2009

Skandal berdarah

Suzanne Tamim yang bermata hijau dan meraih kemasyhuran dalam sebuah program mirip American Idol, dibunuh kekasih gelapnya, jutawan terkenal Mesir, Hisham Talaat.




Berita tentang penangkapan seorang usahawan Mesir yang berpengaruh telah menggemparkan bumi Arab. Lelaki yang sudah berkahwin itu menghadapi hukuman gantung sampai mati Khamis lalu kerana disabitkan dengan pertuduhan mengupah seseorang untuk membunuh kekasih rahsianya.

Seorang bekas ejen keselamatan kerajaan telah dibayar sejumlah AS$2 juta untuk mengelar leher Suzanne Tamim, seorang penyanyi pop terkenal yang dilahirkan sebuah program pencarian bakat negara itu.

Jutawan Hisham Talaat Moustafa, 50, tidak menyangka rancangan itu akan memerangkap dirinya. Tanpa menunjukkan sebarang perasaan ketika hukuman dijatuhkan, Hisham nyata telah mendedahkan kisah gelap dunia seks, kuasa, wang dan pembunuhan.

Dalam pada itu, ada juga yang beranggapan bahawa dia akan terlepas daripada hukuman tersebut. Tanggapan mengenai orang kaya dan berpengaruh yang sering bebas daripada jaringan undang-undang itu menyingkap kisah Gamal, iaitu anak Presiden Hosni Mubarak yang pernah bebas daripada tuduhan membunuh.

Ketika perbicaraan terhadap Hisham dan orang yang diupahnya, Mohsen el-Sukkary berlangsung, kekecohan tidak dapat dielakkan. Kaum keluarga dan para wartawan sering bergelut dengan pihak polis. Kakak Hisham telah pengsan sementara dua anak perempuannya tidak henti menangis.

Nama Suzanne Tamim meniti di bibir peminatnya sejak dia muncul dalam program nyanyian mirip American Idol. Menggoda khalayak Timur Tengah dengan lenggok tari, rambut ikal dan suara lunak, lagu dendangannya yang paling diingati adalah mengenai sepasang kekasih yang hiba kerana perlu berpisah.


HISHAM TALAAT MOUSTAFA berpengaruh dalam politik Mesir.


Begitulah jua kehidupan peribadinya. Dia berpisah dengan suami yang juga pengurusnya dan kemudian dihujani siri dakwaan undang-undang. Suzanne kembali ke Mesir untuk memencilkan diri. Kemudian, pada musim panas tahun 2004 menemukan Suzanne dengan Hisham di sebuah resort di Laut Merah.

Dalam perbicaraan di mahkamah, Mohsen mendedahkan bahawa Hisham sering bersama Suzanne. Wanita itu tinggal di dalam sebuah bilik suit hotel yang dibayar Hisham serta sering dibawa dengan pesawat jet peribadi milik usahawan tersebut.

Apartmen mewah di Dubai

Hisham mengaku mencintai Suzanne dan berhajat untuk memperisterikannya pada tahun 2006 namun mendapat tentangan ibunya. Tentangan itu memaksa mereka berpisah.

Suzanne sekali lagi membawa diri. Kali ini ke London dan mula menjalinkan hubungan dengan seorang petinju. Peguam teman lelakinya itu memberitahu bahawa Suzanne masih terancam dengan api cemburu Hisham. Penyanyi itu kemudiannya mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Dubai.


MOHSEN yang menjadi pembunuh upahan.


Hisham meminta bantuan Mohsen, yang ketika itu bertugas di Hotel Four Season miliknya di Kaherah, untuk melaksanakan dendamnya. Tiket penerbangan dan visa disediakan untuk Mohsen menjejak Suzanne di London, Dubai, dan seterusnya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berdasarkan transkrip pengakuan Mohsen kepada pihak berkuasa, dia menerangkan bahawa Hisham pernah memintanya mencampakkan Suzanne keluar dari balkoni hotel di Dubai, selepas Mohsen gagal menjalankan tugas membunuh Suzanne di London.

Pegawai penyiasat Dubai memberitahu, Mohsen telah mengekori Suzanne pada pagi 28 Julai 2008 hingga ke apartmen penyanyi itu di kompleks mewah Dubai Marina. Dari lobi, Mohsen menyamar sebagai wakil syarikat pengurusan apartmen dan menghubungi Suzanne melalui intercom video. Suzanne mempercayainya.

Sejurus berjaya memasuki apartmen, Mohsen melakukan serangan bertubi-tubi ke atas Suzanne dengan pisau. Pihak polis menemui mayat Suzanne berlumuran darah, dengan banyak kesan tikaman termasuk kelaran sepanjang lapan inci di lehernya.

“Semua itu berlaku dalam masa 12 minit saja. Mohsen yang menukar pakaian dan membuang senjatanya walau bagaimanapun dijejaki melalui bukti DNA Suzanne dan rakaman wajahnya di kamera litar tertutup,” ujar Mejar Jeneral Khamis Al Mazeina daripada pasukan polis Dubai.

Lantaran siasatan yang teliti, Mohsen berjaya ditangkap pada 6 Ogos di Mesir, sebelum siasatan menghala kepada Hisham. Sementara itu, gambar ngeri pembunuhan Suzanne sudah terpampang di muka depan akhbar-akhbar di seluruh Arab.

Kerajaan Mesir menolak ekstradisi Hisham ke UAE dan mendesak perbicaraan hanya boleh dijalankan di negara tersebut. Orang ramai melihat keadaan itu sebagai membuka jalan kepada tokoh hartanah terkenal itu terlepas daripada hukuman.

Pisau sudah diasah – Hisham

Namun, dalam pada perincian perbicaraan semakin menghangatkan dada akhbar, hakim telah mengeluarkan perintah untuk menahan dan menutup kebanyakan daripada 27 sesi perbicaraan daripada pengetahuan umum. Itu telah menyemarakkan lagi spekulasi yang menyamakan kes Hisham dengan Gamal Mubarak.

Namun, perbicaraan ini masih menunggu dan memerlukan pertimbangan akhir oleh Mufti Besar Mesir. Pihak defendan boleh merayu dalam tempoh 60 hari selepas mufti memberikan kata putus pada 25 Jun nanti.

“Pisau sudah diasah untuk memotong dagingku,” Hisham menitipkan kepada media tentang perasaan dan pengalamannya dari dalam penjara. “Namun pembohongan ini tidak dapat mengalihkan piramid yang telah aku bina dalam ekonomi Mesir.”

Selepas kematian Suzanne, sebuah klip video lagu dendangannya disiarkan di televisyen. Berjudul Nawyahalou, klip itu menunjukkan Suzanne sedang menyiapkan hidangan sambil menghayun-hayunkan pisau. Pada masa yang sama, seorang lelaki sedang memerhatikannya dari jendela sebuah bangunan lain.

Suzanne menyanyi: “Aku tak akan mendiamkan diri dan akan terus diingatinya, dalam fantasinya dan dalam mimpinya. Aku akan sentiasa bersamanya dan tidak akan membiarkan matanya lena. Aku akan sentiasa membuatkan hatinya bergelora.”

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...