iskandar@hmetro.com.my
SUBANG: Kepulangan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini hanya akan menguris hati anggota pasukan keselamatan, keluarga dan mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman parti itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, tindakan itu juga akan membangkitkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati di kalangan anggota keluarga lebih 50,000 anggota tentera dan polis yang terkorban menentang PKM ketika zaman darurat.
Beliau turut mendedahkan ada badan tidak berdaftar dan parti politik tertentu sengaja menyebar fahaman komunis secara tersembunyi di negara ini.
Menurutnya, beliau tidak dapat menyatakan secara terperinci mengenai gerakan yang cuba menghidupkan semula ideologi komunis berkenaan.
“Kita (Kementerian Pertahanan) sentiasa memantau semua perkara yang boleh menggugat keamanan negara termasuk usaha berbaur komunis yang cuba dihidupkan golongan tertentu termasuk parti politik.
“Sekiranya usaha ke arah itu dikesan sepenuhnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak terbabit,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Udara Subang di sini, semalam.
Kelmarin, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, turut menyatakan bantahan dengan menyatakan komunis tidak boleh diberikan sebarang tempat di negara ini kerana dosa mereka membunuh ribuan rakyat Tanah Melayu ketika itu.
Berikutan itu, beliau meminta pemimpin yang melahirkan perasaan positif terhadap Chin Peng supaya menyatakan pendirian mereka dengan jelas dan tidak berlindung di belakang tabir parti politik.
Sementara itu, mengulas isu penangguhan pembelian helikopter Eurocopter, Ahmad Zahid berkata, pihaknya memahami kesulitan kerajaan menghadapi tekanan ekonomi semasa dan menghormati Surat Hasrat (LOI) yang tamat Ogos depan.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090527065139/Article/index_html
No comments:
Post a Comment