BANGKOK - Tiga pelajar Thai dikuarantin di sebuah hospital di sini semalam kerana disyaki menghidap influenza A H1N1 selepas mereka menunjukkan gejala demam setelah kembali dari Mexico, kata beberapa pegawai kanan.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Paijit Warachit berkata, ketiga-tiga mereka merupakan sebahagian kumpulan 14 pelajar dan guru yang menyertai program pertukaran lawatan ke Mexico.
Menurutnya, 11 yang lain akan diletakkan dalam pengawasan di hospital yang sama di pinggir Bangkok.
"Ketiga-tiga mereka diasingkan setelah mereka didapati mengalami demam," katanya.
Kerajaan Thai meningkatkan langkah pengawasan virus A H1N1 pada tahap tertinggi Sabtu lepas dengan mesin-mesin pengimbas suhu badan beroperasi 24 jam bagi memeriksa semua pelawat yang tiba di lapangan terbang utama negara itu.
Setakat ini, tiada laporan kes influenza A H1N1 yang disahkan.
Thailand akan menjadi tuan rumah persidangan Menteri Kesihatan ASEAN bersama rakan dialog iaitu Jepun, China dan Korea Selatan pada Jumaat ini.
- AFP
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm
No comments:
Post a Comment