Friday, June 12, 2009

Dua lagi dijangkiti H1N1


WALAUPUN belum diwajibkan, orang ramai yang menghidap selesema dan batuk dinasihatkan memakai topeng muka bagi mencegah jangkitan. – Gambar hiasan.


PETALING JAYA – Malaysia mengesahkan dua lagi kes baru influenza A (H1N1) positif semalam, menjadikan kesemuanya 11 kes yang dilaporkan di negara ini sejak ia pertama kali dikesan bulan lalu.

Dua mangsa terbaru itu membabitkan wanita rakyat Malaysia yang masing-masing baru pulang dari Manila, Filipina pada 6 Jun dan Melbourne, Australia tiga hari kemudian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mangsa yang pulang dari Australia itu ialah seorang pelajar 17 tahun yang melawat keluarganya di negara berkenaan.

Dia kembali ke Kuala Lumpur menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH148 dan duduk di kerusi bernombor 14A.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas menunjukkan simptom penyakit itu dan kemudian disahkan sebagai H1N1 petang kelmarin.

Pesakit ke-11, seorang wanita berumur 41 tahun yang berasal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang mengikuti kursus di Manila dan pulang ke Pulau Pinang pada 6 Jun dengan menaiki penerbangan SQ192 Singapore Airlines, yang singgah di Singapura.

Tiong Lai berkata, kedua-dua pesakit kini dilaporkan stabil.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...