Sunday, June 28, 2009

Hampir setahun 'jual mahal', Maya akhirnya sah isteri kerabat

Sabtu Jun 27, 2009

Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz, 38 dan Maya, 33, kini sah bergelar suami isteri - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Walaupun pada awalnya Meyanaliza Ruslee, 33, atau Maya agak berat hati untuk berkenalan dengan jejaka berstatus kerabat diraja Pahang ini kira-kira enam tahun lalu, namun telah ditentukan jodoh mereka cukup kuat.

Hanya dengan sekali lafaz, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz, 38 dan Maya kini sah bergelar suami isteri pada majlis pernikahan mereka yang berlangsung di Masjid Darul Ehsan, Ampang, selepas Asar, hari ini (Jumaat).

Pasangan ini dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Darul Ehsan, Muhamad Khairi Hussein manakala abang sulung Maya, Harris Faizal Ruslee bertindak selaku wali pengantin perempuan.

Pada majlis yang serba ringkas itu, pihak pengantin lelaki memberi tujuh dulang hantaran antaranya al-quran, telekung, cincin dan kasut serta dibalas sebanyak sembilan dulang hantaran termasuklah kereta kawalan jauh, kasut, kemeja, wangian, cincin dan tali pinggang.

Maya turut menerima mas kahwin sebanyak RM80 tetapi pelakon dan penyanyi itu bagaimanapun ingin merahsiakan wang hantaran yang diterimanya.

Majlis bersejarah pasangan itu telah disaksikan oleh kira-kira 100 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Turut hadir ialah rakan-rakan artis seperti Nadia Mustafa, Sharifah Zarina, Haiza, Ida Moin, Jaafar Onn, Haziq dan Den Wahab.

Maya yang ditemui sejurus berakhirnya majlis itu memanjatkan rasa syukur setelah hubungan cinta yang terjalin itu akhirnya disatukan dengan ikatan perkahwinan.

Maya akan mambataskan karier seninya untuk memberi tumpuan terhadap rumahtangga

"Saya telalu gembira. Sebelum ini bila melihat ramai kawan-kawan sudah berkahwin dan mempunyai anak, hati saya turut terdetik bila pula masa saya untuk berumahtangga. Alhamdulillah, inilah yang saya tunggu-tunggu selama ini.

"Kalau ikutkan, kami sepatutnya melangsungkan perkahwinan tahun lalu. Tetapi memandangkan ketika itu arwah ibu Reza sakit akibat komplikasi jantung, kami terpaksa tangguhkan dulu.

"Apapun, saya amat mengimpikan satu perkahwinan yang akan kekal selama-lamanya. Dan saya yakin dengan pilihan saya ini. Sifat yang ada pada dia, tidak ada pada saya. Begitu juga sebaliknya. Sebab itu kami amat serasi," kata Maya yang mengikat tali pertunangan dengan Reza pada 4 Jun lalu.

Mengimbas tentang perkenalan mereka pula, kata Reza, dia pertama kali bertemu Maya pada 23 November 2003, ketika penyanyi yang popular dengan lagu Matahari itu membuat persembahan sempena majlis hari lahir bapanya, Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Abdul Aziz Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di ibukota.

"Saya kemudiannya mendapatkan nombor telefonnya daripada pembantu peribadi bapa saya dan cuba hubungi dia keesokan harinya. Saya akui, ia ibarat cinta pandang pertama.

"Tetapi saya ambil masa lebih kurang setahun juga sebenarnya untuk 'tackle' dia. Apa yang pasti, Maya adalah wanita yang lain daripada yang lain. Bukan kerana dia artis, kerana sebelum ini pun saya memang ramai berkawan dengan golongan artis juga.

"Saya tertarik dengan personalitinya dan dia seorang yang boleh dipercayai. Malah, dia pandai masak makanan kesukaan arwah ibu saya," kata Reza yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Maya pula turut menambah, pada awalnya dia sendiri agak keberatan untuk berkenalan lebih lanjut dengan suaminya itu, apatah lagi Reza adalah daripada golongan kerabat diraja.

"Dia 'call' banyak kali selepas itu, tetapi saya memang macam malas sikit untuk layan dia. Ketika itu, saya takut juga untuk rapat dengan golongan kerabat sebab saya tidak mahu orang menganggap saya ingin senang dengan cara mudah.

"Tetapi dalam masa setahun itu, saya nampak keihklasan dia untuk berkawan dengan saya. Saya juga tertarik dengan sikapnya yang cukup 'straight forward'," kata Maya yang turut mengimpikan sepasang cahayamata sebagai pelengkap rumahtangga mereka kelak.

Bercerita mengenai karier seninya pula, kata Maya, dia akan cuba menghadkan aktiviti seninya selepas ini bagi memberikan tumpuan terhadap rumahtangga.

"Reza tidak menghalang karier saya, cuma selepas berkahwin ni, dia tidak mahu saya selalu 'outstation'. Bulan depan saya akan ke Brunei untuk penggambaran drama dan selepas itu, saya akan mula bataskan sedikit karier saya," katanya yang mungkin akan berbulan madu dengan suaminya di Bali.

Majlis persandingan pasangan mempelai ini dijangka akan diadakan pada 3 Oktober depan di Batu Pahat, Johor manakala di sebelah pihak lelaki pula masih belum ditetapkan.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/27/mstar_hiburan/20090626213021&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...