Monday, June 22, 2009

Kuman gusi serang jantung

Bakteria di dalam mulut menyumbang kepada penyakit jantung dan kencing manis.


KESIHATAN mulut turut memberi kesan besar terhadap diabetes dan penyakit berkaitan pernafasan.


Tahukah anda, penyakit gusi yang menjadi penyebab utama orang dewasa kehilangan gigi sebenarnya berkait rapat dengan penyakit jantung dan kencing manis yang merupakan antara pembunuh utama di dunia.

Menurut Pakar Periodontal dan Bedah Gigi, Dr. Yong Hui Ping, kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia berdepan dengan masalah gusi dengan lebih 30 peratus berada di tahap serius.

“Penyakit gusi bermula dengan pengumpulan plak bakteria yang sentiasa terbentuk di dalam mulut.

“Ia akan menyebabkan gusi mengalami radang lalu bertukar merah dan teksturnya lembik. Gusi terasa pedih kerana membengkak dan mudah berdarah semasa menggosok gigi, makan mahupun ketika menelan air liur.

“Jika keadaan ini berterusan tanpa rawatan, bakteria di dalam mulut akan memakan sisa makanan kemudian merembeskan toksik yang akan menyebabkan gusi lekang daripada gigi, seterusnya membentuk lekuk antara gigi dan gusi,” katanya.

Tambah Hui Ping, gingivitis yang dibiarkan untuk satu tempoh yang lama akan mengundang penyakit gusi yang lebih serius iaitu periodontitis.

“Ramai menganggap warga emas atau orang dewasa sahaja yang mendapat penyakit ini. Tanggapan itu salah sama sekali kerana plak dan bakteria yang dibiarkan membiak dalam mulut selama bertahun-tahun mampu menyerang gusi tanpa mengira faktor usia. Ramai juga remaja yang menghidap periodontitis,” katanya.

Bakteria ikut saluran darah

Pada tahap serius, jangkitan kuman di bahagian gusi boleh memusnahkan ligamen dan merosakkan tisu serta tulang penyokong gigi. Malah, gusi boleh bercerai daripada gigi dan paras tulang gigi merosot.

Periodontitis yang teruk menjadikan gigi kelihatan lebih panjang dan kedudukannya berubah. Ia menimbulkan rasa tidak serasi apabila pesakit menggigit makanan.

Gusi menjadi lebih sensitif serta sakit ketika mengunyah. Nafas pesakit pula berbau busuk dan sukar dihilangkan.




“Jika pesakit mengalami simptom tersebut tetapi tidak mendapatkan rawatan pakar, nanah mudah terbentuk dan kehilangan tulang gigi semakin kerap terjadi. Akhirnya, gigi kekal mula longgar dan mudah tertanggal,” jelas Hui Ping.

Kurang bersenam, pengambilan makanan tidak seimbang, merokok, tekanan darah tinggi dan kencing manis sering menjadi punca penyakit jantung.

Namun, beberapa kajian mendapati faktor tersebut belum dapat dikaitkan sepenuhnya dengan pembentukan arteroskelorosis iaitu pengumpulan plak lemak ke dalam salur darah yang menyebabkan serangan jantung.

Penemuan ini mendorong ramai penyelidik lebih memberi tumpuan kepada kaitan antara penyakit periodontitis dengan penyakit koronari jantung.

Berdasarkan kajian oleh pasukan penyelidik yang diketuai Dr. Arne Schaefer dari Universiti Kiel, Jerman, didapati wujud persamaan antara kuman yang ditemui pada rongga mulut dengan kuman yang ada di plak-plak koronari jantung.

“Kita temui gen yang menghubungkan dua keadaan itu pada kromosom 9. Hubungan gen tersebut dengan serangan jantung sebelumnya memang telah diketahui. Namun, dalam kajian kali ini, gen tersebut ditemui pada pesakit yang mengalami periodontitis tahap awal.

“Ini bermakna kuman di dalam gusi bermasalah akan memasuki saluran darah. Ditambah dengan faktor lain, plak lemak akan terbentuk dan menyekat saluran tersebut,” kata Schaefer.

Penghidap periodontis lebih berisiko mendapat serangan jantung kerana bakteria daripada mulut boleh menjangkiti kawasan lain dalam badan dan menyebabkan tindak balas keradangan.

“Sistem imun badan akan mengesan kehadiran bakteria ini dan bertindak balas untuk menghapuskannya.

“Tindak balas ini menyebabkan pelbagai kesan keradangan, terutama pada sistem kardiovaskular dengan menebalkan dinding saluran darah.

“Keadaan ini kerap berlaku pada pesakit jantung. Individu yang menghadapi masalah periodontitis mempunyai risiko 24 peratus lebih tinggi mendapat penyakit jantung koronari,” ujar Hui Ping.

Kajian yang dijalankan mendapati bakteria serta kimia yang dihasilkannya boleh memasuki salur darah secara langsung dan akhirnya sampai ke bahagian lain yang jauh ke dalam seperti sel endotelium pada salur darah,” tambah beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...