Written by Editor |
Monday, 15 June 2009 15:01 |
Kempen mendesak kerajaan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibawa ke dalam Persidangan Dewan Rakyat apabila Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, melaungkan slogan "Bubar DUN Perak" sejurus mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang. Laungan Nizar disambut oleh rakan-rakan ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang berada dalam dewan dengan memakai lilit kepala hitam dengan tulisan "Bubar DUN" (Gambar - Nizar laungkan 'Bubar DUN Perak') Antara mereka adalah Dato’ Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) di ikuti beberapa rakan lain, Dato’ Ngeh Kor Ham (DAP-Beruas) dan Nga Kor Ming (DAP-Taiping). Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian telah memerintahkan ahli-ahli yang berhormat yang berbuat demikian keluar Dewan setelah teguranya tidak di endahkan. Pandikar Amin turut mengarahkan wakil-wakil Pakatan Rakyat yang enggan menanggalkan lilit kepala atau lengan berkenaan supaya meninggalkan Dewan Rakyat. Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat menyahut cabaran speaker dan bertindak keluar dewan. Antara mereka yang memilih untuk keluar ialah Khalid Samad (Pas-Shah Alam), Chong Cheing Jen (DAP-Kuching), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) dan Teo Nie Cheng (DAP-Serdang). Mengulas perkembangan tersebut, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mempertahan tindakan Nizar dan ahli parlimen Pakatan Rakyat memakai lilitan hitam "Bubarkan DUN Perak" semasa permulaan sidang Dewan Rakyat hari ini. Beliau berkata, Parlimen luar negara membenarkan wakil rakyatnya memakai sebarang tanda bagi meluahkan sesuatu perkara ketika memasuki mesyuarat atau persidangan. "Saya juga akan mengutus surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini berhubung tindakan beliau mengarah tujuh wakil rakyat pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat kerana enggan mematuhi arahan menanggalkan lilitan itu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen. http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=602:laungan-bubar-dun-perak-bergema-di-parlimen&catid=36:berita-nasional&Itemid=37 |
No comments:
Post a Comment