PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama baru-baru ini mendapat banyak pujian kerana ucapannya mengenai dunia Islam.
Ucapan yang dibuat oleh Obama di Kaherah, Mesir pada minggu lalu itu turut mendapat reaksi positif di kalangan pemimpin dan golongan intelektual.
Ketika berucap di Kaherah, Obama cuba mengikis tanggapan buruk terhadap Islam yang kerap dikaitkan dengan keganasan.
Ketika berucap di hadapan 4,000 orang, Obama menyatakan Amerika dan Islam berkongsi prinsip keadilan dan kemajuan, toleransi serta maruah manusia.
Obama berkata: "Saya bersimpati tetapi sehingga negara-negara Islam boleh bertoleransi berhubung kewujudan kitab Injil atau pemakaian lambang salib oleh seorang paderi tentera dalam sempadan mereka, kita tidak berkongsi prinsip yang sama itu."
Ada pihak berpendapat George W. Bush yang melancarkan perang ke atas Iraq tidak akan berucap dengan nada serupa seperti Obama.
Sebelum ini ketika AS diperintah oleh Bush selama dua penggal, penduduk Islam di seluruh dunia berasa terhina apabila agama mereka dikaitkan dengan keganasan.
Cara penganut Islam diperiksa di lapangan terbang di Barat dan AS turut mengaibkan mereka selain dipandang serong selepas serangan pengganas 11 September 2001 di New York, AS.
Namun, apakah yang menyebabkan Obama boleh membuat ucapan sedemikian rupa?
Latar belakang hidup Obama dan Bush sebenarnya jauh berbeza.
Obama pernah hidup di Indonesia iaitu sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk Islam di dunia.
Presiden AS itu turut mempunyai saudara-maranya yang beragama Islam di Afrika.
Justeru Obama yang dilayan baik ketika beliau hidup di Indonesia yang menjadi lokasi serangan pengganas pada 2002 di Bali lebih banyak mengetahui mengenai Islam berbanding Bush.
Buat masa ini, Presiden AS itu menjadi kebanggaan sebahagian penganut Islam kerana usahanya yang mahu membaiki hubungan AS dengan dunia Islam.
Pastinya, pengalaman hidup Obama di Indonesia menyebabkan beliau berani menongkah arus Bush yang popular kerana dasar luarnya mencetuskan banyak kontroversi terutamanya melibatkan dunia Islam.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm
No comments:
Post a Comment