Wednesday, July 22, 2009

H1N1: Kelas di SK Subang Bestari ditutup

Abdul Rahim Sabri
Jul 21, 09
11:12am

Sebuah kelas di SK Subang Bestari di Shah Alam ditutup apabila 15 pelajarnya dikesan mempunyai tanda-tanda seakan-akan selesema selepas seorang dijangkiti virus A (H1N1).

Kelas itu yang melibatkan 43 murid ditutup sehingga Isnin minggu depan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Kelas 5 Lotus melibatkan satu kes tempatan selesema A (H1N1) iaitu kes ke-871 yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Dengan penambahan tiga kes baru hari ini, jumlah setakat ini 877 kes kesemuanya.

Dua daripadanya kes import yang melibatkan dua beradik yang pulang bercuti dari Bandung, Indonesia pada 11 Julai lepas, kata ketua pengarah kesihatan pula.

"Kedua-duanya telah dimasukkan ke wad pada hari yang berlainan iaitu pada 16 dan 18 Julai kerana menghidap komplikasi pneumonia di Hospital Kuala Lumpur, dan disahkan dijangkiti influenza A (H1N1) semalam," kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Mereka diberi rawatan antivirus dan berada dalam keadaan stabil.

Satu kes jangkitan tempatan melibatkan seorang lelaki 32 tahun yang bekerja di syarikat swasta dan sering berurusan dengan pelanggan termasuk dari luar negara.

"Beliau dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana mengalami komplikasi pneumonia dan disahkan dijangkiti influenza A (H1N1).

"Beliau kini berada dalam keadaan stabil dan telah diberi rawatan antivirus," Dr Mohd Ismail dipetik berkata.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...