Wednesday, July 8, 2009

Mahkamah tarik balik amanah jaga estet Jackson daripada Katherine Jackson

Rabu Julai 8, 2009

Foto bertarikh 12 April 2005 ini menunjukkan Katherine Jackson dan anaknya, Michael Jackson di mahkamah Santa Barbara County di Santa Maria, California ketika menghadapi kes tuduhan mencabul kanak-kanak.

SEORANG hakim Los Angeles telah menarik balik amanah menjaga estet milik Jackson oleh ibu Raja Pop itu - Katherine Jackson pada Isnin lalu.

Hakim itu seterusnya menyerahkan amanah tersebut kepada wasi-wasi yang dinamakan dalam wasiat Jackson pada tahun 2002.

Katherine Jackson, 79, sebelum ini menerima amanah menjaga estet anaknya pada minggu lalu sebelum wasiat itu muncul.

Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Mitchell Beckloff berkata, berdasarkan "kewajiban undang-undang (the law compels)", beliau telah mengamanahkan peguam John Branca dan eksekutif industri muzik, John McClain untuk menguruskan estet Jackson sementara waktu.

Backloff menetapkan kes tersebut didengar pada 3 Ogos ini dan mengarahkan Branca dan McClain memaklumkan apa-apa urusan berkaitan estet Jackson kepada Katherine Jackson.

Menurut wasiat tahun 2002 itu, Jackson menyerahkan estetnya yang bernilai lebih USD500 juta kepada satu amanah yang menjaga kebajikan tiga anaknya, ibunya dan badan amal.

"Kami sangat berpuas hati dengan keputusan Hakim Beckloff pagi ini. Beliau (Hakim) telah membuat keputusan 'luar jangkaan' dengan memastikan Katherine dimaklumkan tentang pentadbiran estet Jackson pada peringkat awal ini," kata Burt Levitch, wakil peguam Katherine Jackson.

Sementara itu, perbicaraan mengenai hak jagaan anak-anak Michael Jackson akan didengar berasingan pada 13 Julai ini.

Buat masa ini, Katherine Jackson dinamakan sebagai penjaga sementara Prince Michael Jackson Jr. 12, Paris Michael Katherine Jackson, 11, dan Prince Michael Joseph Jackson, II, 7.

Wakil untuk Branca dan McClain berkata mereka akan memenuhi hasrat Raja Pop dalam wasiatnya selain meningkat nilai estetnya.

Nilai estet Jackson masih menjadi tanda tanya. Wasiat Jackson (2002) meletakkan nilai estet Raja Pop itu pada lebih USD500 juta.

Jackson memiliki sebahagian Sony-ATV yang menguasai katalog muzik termasuk lagu The Beatles. Ia dianggarkan bernilai USD1 bilion.

Raja Pop ini juga mempunyai satu syarikat yang menguasai hak-hakcipta muzik yang dirakamnya sepanjang karier solo.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/8/mstar_hiburan/20090707132633&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...