|
Dua bayi dan seorang wanita hamil antara enam korban terbaru wabak influenza A (H1N1), menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 44 orang. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata enam pesakit yang meninggal dunia itu telah mendapat jangkitan antara 6 Ogos dan 9 Ogos. Tarikh kematian sebenar enam kes tersebut adalah pada 7 Ogos (empat kematian), 9 Ogos (satu kematian) dan 10 Ogos (satu kematian). Menurut beliau daripada enam kematian yang dilaporkan itu, seorang bayi perempuan berumur 10 bulan tanpa sejarah penyakit kongenital, dilaporkan mengalami demam dan batuk pada 1 Ogos dan dibawa untuk menerima rawatan pada 6 Ogos tetapi meninggal dunia keesokannya. Liow berkata satu lagi kes kematian melibatkan bayi lelaki berumur 12 bulan yang mengalami penyakit jantung kongenital dan baru menjalani pembedahan jantung di hospital swasta sebelum dirujuk ke hospital kerajaan untuk rawatan lanjut pada 7 Ogos setelah mendapat demam dan sawan. Bayi itu meninggal dunia pada 9 Ogos kerana mengalami komplikasi pembedahan jantung dan jangkitan pneumonia dan disahkan dijangkiti H1N1 pada 10 Ogos. Satu lagi kes melibatkan seorang surirumah berumur 18 tahun yang mengandung 26 minggu. Wanita obes itu mula mendapat simptom batuk, sakit tekak dan selsema pada 3 Ogos dan mendapat rawatan di klinik kesihatan pada hari yang sama. "Bagaimanapun keadaan beliau bertambah teruk dan dimasukkan ke ICU hospital akibat sesak nafas pada 7 Ogos dan rawatan antivirus dimulakan pada hari yang sama dengan sampel sapuan tekak diambil pada 9 Ogos, sebelum disahkan mendapat H1N1 pada 10 Ogos dan telah meninggal dunia pada hari yang sama," katanya. Liow berkata terdapat 76 kes pesakit yang sedang dirawat di hospital dan 21 lagi kes di ICU di mana 12 daripadanya mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10 orang), obesiti (satu) dan selepas bersalin (satu). Seramai 86 orang telah dibenarkan pulang dari hospital semalam. Liow berkata mulai hari ini tiada lagi laporan akan dikeluarkan mengenai jumlah kes jangkitan H1N1, berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). "Kita tidak melaporkan lagi kes-kes baru H1N1 kerana ia tidak memberi gambaran sebenarnya. WHO telah beri garis panduan bahawa semua negara tidak perlu laporkan lagi bilangan pesakit H1N1 dan hanya perlu melaporkan bilangan pesakit di hospital, bilangan di ICU and bilangan meninggal dunia," katanya. BERNAMA http://www1.malaysiakini.com/news/110381 |
No comments:
Post a Comment