KUALA KANGSAR: Shukarno Abdul Mutalib kini boleh menarik nafas lega melihat keadaan anaknya, Kartika Sari Dewi yang semakin baik sejak hukuman sebat yang dikenakan ke atasnya mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa.
Sebelum ini katanya, Kartika sentiasa menangis dan berkeras mengatakan yang dia akan disebat kerana salah lakunya tetapi sekarang, dia kelihatan lebih tenang.
"Sekurang-kurangnya sekarang, dia bersetuju untuk bertemu dengan pegawai dari Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," kata Shukarno selepas pertemuan dengan Ketua Penolong Pegawai, Bahagian Akidah Jakim, Halim Ahmad dan dua guru agama perempuan di rumahnya di Kampung Jawang dekat sini, semalam.
Pada ketika itu, model sambilan berusia 32 tahun itu dikatakan ke Ipoh pada sebelah pagi untuk mendapatkan rawatan perubatan untuk salah seorang anak perempuannya.
"Kami berbincang bagaimana untuk membantu Kartika menghadapi pengalaman yang trauma ini tetapi kami tidak berbincang untuk membuat rayuan," katanya ketika ditanya tentang pertemuannya dengan pegawai Jakim itu.
Halim berkata, beliau telah menasihatkan keluarga itu supaya tabah dan harus mengambil kira sebarang nasihat yang diberikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Pegawai agama Islam Pahang telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Kartika untuk dibawa ke penjara Kajang pada Isnin lalu bagi menjalani hukuman sebat itu.
Bagaimanapun, kenderaan yang membawa Kartika berpatah semula membawanya pulang tidak lama selepas itu.
Mereka memberitahu Shukarno, hukuman itu tidak dapat dilaksanakan berikutan arahan baru yang diterima daripada pihak berkuasa agama negeri Pahang.
"Ada yang meminta kami untuk membuat rayuan tetapi kami tidak tahu bagaimana. Itu adalah antara sebab mengapa kami meminta nasihat daripada pakar-pakar agama Islam seperti Mufti Perak," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat melahirkan ketidakpuasan hatinya berhubung cara kes itu dikendalikan.
Beliau yang enggan mengulas mengenai hukuman yang dikenakan ke atas Kartika berasa kecewa dengan cara pihak berkuasa agama Pahang yang seperti teragak-agak dalam menjalankan tugas mereka.
"Satu masa, mereka mahu melaksanakan hukuman sebat itu, selepas itu, dia (Kartika) dihantar pulang ke rumah.
"Semua ini memperlihatkan ketidakstabilan mahkamah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri semalam.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/27/mstar_berita/20090827115231&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment