hadzlihady@hmetro.com.my
AMPANG: Seorang gadis nekad melarikan diri ke ibu kota bagi mengelak kejadian dia dirogol bergilir-gilir sekumpulan lapan lelaki di Alor Star, Kedah diketahui keluarga.
Gadis berusia belasan tahun itu turut menghubungi kakak angkatnya yang tinggal di ibu negara bagi melepaskan tekanan sebelum berjanji berjumpa di Hentian Puduraya, Ahad lalu.
Namun, sejurus menjejakkan kaki ke stesen bas itu, kakak angkat yang disangka boleh meringankan beban yang digalas gagal dihubungi kerana enggan membantu mangsa dan tidak mahu menjawab panggilan telefon.
Bagaimanapun, gadis berkenaan yang seperti hilang arah dan termenung di stesen itu akhirnya dibantu seorang wanita yang kemudian membawanya pulang ke rumahnya di Ampang.
Menurut sumber polis, wanita yang membantu gadis terbabit menumpangkan remaja itu di rumahnya sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, kelmarin.
“Ketika berada di rumah berkenaan, gadis terbabit memberitahu dia mengalami kesakitan di kemaluan.
“Wanita itu yang mengesyaki gadis terbabit mungkin menyimpan satu rahsia menasihatkan dia mendapatkan rawatan doktor,” katanya.
Sumber terbabit berkata, doktor mengesahkan mangsa mengalami tanda-tanda dirogol dan dinasihatkan membuat laporan polis.
Difahamkan, gadis berasal dari Gurun, Kedah itu mengikut rakan lelakinya ke sebuah rumah di Alor Star sebelum dia menjadi mangsa rogol lapan lelaki lain.
Mangsa mendakwa, ketika kejadian dia dalam keadaan separuh sedar dan mengalami kesakitan di kemaluan selepas terjaga daripada tidur keesokan paginya.
Selepas peristiwa itu, gadis berkenaan hilang arah sebelum menghubungi kakak angkatnya yang tinggal di ibu kota dan berjanji mahu berjumpa wanita terbabit untuk menghilangkan tekanan.
Dalam kejadian berasingan, seorang gadis berusia 19 tahun turut membuat laporan polis yang mendakwa dia menjadi mangsa rogol dua tahun lalu.
Gadis berkenaan yang selama ini menyembunyikan kejadian itu daripada keluarga akhirnya membuat laporan polis selepas tidak tahan menyimpan rahsia yang menjadi beban dalam hidupnya itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima kedua-dua laporan itu namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090805072409/Article/index_html
No comments:
Post a Comment