Monday, August 24, 2009

SAH: Guru SMK USJ12 korban A(H1N1)


PUTRAJAYA: Seorang guru wanita berusia 38 tahun daripada SMK USJ12 yang meninggal dunia pada 19 Ogos lalu menjadi korban terbaru virus H1N1 sekaligus menjadikan jumlah kematian akibat virus itu di negara ini meningkat kepada 69 orang, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, mangsa sebelum itu telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 13 Ogos selepas demam dan batuk selama dua hari.

Menurut Liow, daripada ujian segera yang dijalankan, mangsa turut didapati positif Influenza A dan diberikan rawatan simptomatik tanpa melibatkan rawatan antiviral Tamiflu.

"Lima hari selepas menerima rawatan untuk Influenza A, pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta pada 20 Ogos selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan 'cyanosis'.

"Mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan diberikan rawatan tamiflu, namun disahkan meninggal dunia pada 19 Ogos akibat pneumonia dan keputusan swab tekak pada 20 Ogos mengesahkan mangsa positif H1N1," katanya.

Liow juga berkata, 1,455 pesakit penyakit seperti influenza (ILI) sedang dirawat di 85 buah hospital, termasuk empat hospital swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, hanya 285 pesakit disahkan menghidap H1N1, dengan 39 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk dua kemasukan baru.

"Daripada 39 kes itu, 33 kes melibatkan pesakit yang berisiko iaitu penyakit kronik, obesiti, diabetes, kanak-kanak/bayi, penyakit respiratori kronik, postnatal dan Sindrom Down," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan akan mengadakan perjumpaan dan taklimat kepada semua hospital dan klinik swasta untuk memberikan garis panduan yang lebih jelas kepada mereka dalam mengendalikan rawatan dan kes Influenza A (H1N1).

Liow berkata, garis panduan itu bagi menangani kekeliruan yang seringkali wujud di kalangan pengamal perubatan swasta dalam menangani kes-kes sedemikian.

Katanya lagi, perjumpaan tersebut dijangka diadakan dalam minggu ini dan ia diharap dapat membantu mereka menangani kes H1N1 dengan lebih cepat dan cekap.

"Selain memberikan rawatan dengan cepat dan cekap, kita juga berharap agar klinik dan hospital swasta ini mempunyai bekalan antiviral yang mencukupi untuk diberikan kepada pesakit yang menunjukkan simptomsimptom H1N1," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi taklimat H1N1 kepada media di sini hari ini.

Beliau turut meminta agar media tidak bergantung kepada statistik kes untuk membuat laporan berhubung situasi terkini H1N1 kerana ia tidak menggambarkan keadaan sebenar. "Bilangan kes yang dilaporkan setiap hari tidak menggambarkan keadaan sebenar dan boleh mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya. BERNAMA

*cyanosis - blueness or lividness of the skin, as from imperfectly oxygenated blood.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/24/mstar_berita/20090824160220&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...