Monday, September 28, 2009

Dapur Chef Wan praktikal

Biarpun sudah merasa memasak di dapur di seluruh dunia, Chef Wan, 51, mengekalkan dapur di rumahnya sendiri seringkas dan praktikal yang mungkin.





“WAN ni dulu nakal. Ada masa tu dia sapu sampah di rumah. Ingatkan dia buang sampah macam biasa. Rupa-rupanya dia buang sampah tu ke rumah jiran ikut tingkapnya,” kongsi Noraini Abdullah, 77, ibu kepada chef No. 1 Malaysia, Redzuawan Ismail, 51, yang lebih dikenali sebagai Chef Wan.

“Dulu kami tinggal di berek polis. Budak-budak suka mengejek mak masing-masing. Sebab itulah saya bergaduh. Bukan setakat buang sampah ke rumah jiran, siap pancitkan kereta jiran lagi,” sampuk Chef Wan, pemenang anugerah Chef Selebriti Terbaik Dunia 2009 itu ketawa.

Menurut Noraini, Chef Wan, anak sulung daripada tujuh adik-beradik, merupakan anaknya yang paling nakal.

“Adik-adiknya selalu jadi mangsa. Wan suka ambil duit bas adik-adiknya buat beli tikam. Lepas itu berjalan kakilah semua ke sekolah apabila sudah kalah,” tambah Noraini.


HANYA dengan ketelitian dan disiplin tinggi, seseorang dapat mengekalkan kebersihan dan kekemasan sudut dapur yang menjadi nadi penting sesebuah kediaman.


Namun, dijelaskan Chef Wan, hajatnya pada waktu itu mahu menggandakan duit yang ada supaya dapatlah adik-adiknya membeli gula-gula dan sebagainya dengan duit yang dimenanginya itu. “Tapi kalau kalah, memang jalan kaki sajalah kami,” katanya sambil tertawa.

Sesi temu bual bersama chef yang terkenal dengan celotehnya itu berlarutan tanpa kering gusi.

“Dulu kalau balik sekolah, kami lalu kubur Cina. Kami paling suka kalau musim Festival Qingming. Pada waktu itu akan ada banyak makanan ditinggalkan di atas kubur. Saya selalu ajak adik-adik kutip buah pada waktu tiada orang.

“Pakai kayu panjang, saya jolok-jolok dari jauh sebab takut hantu keluar. Banyaklah juga buah yang kami dapat,” kongsinya sambil terus tertawa.

Ketuhar RM30,000

Bakal membuat demonstrasi bersama lapan chef selebriti Jerman pada Pesta Buku Tahunan Frankfurt di Jerman, kesibukannya dapat diperhatikan dengan jelas melalui jadual aktiviti yang sudah berisi sehingga November 2009. Ditambah pula dengan hari bahagia anak perempuan tunggalnya yang juga artis tanah air, Serena, yang bakal tiba.

Kelibat Chef Wan juga bakal kelihatan di Lebanon, Sweden, Sepanyol, China dan banyak negara lagi. Namun, yang pasti, kesibukannya itu berkisar dalam dunia dapur.


SKIL Chef Wan menyediakan hidangan lazat turut diiringi kepakaran teknologi perkakasan dapur jenama Fotile yang moden.


Sedari kecil Chef Wan sudah masuk ke dapur, menolong ibunya memasak. Menginjak dewasa, beliau tinggalkan pula dunia perakaunan untuk ‘masuk’ semula ke dapur. Sehingga hari ini, entah berapa ribu dapur sudah ‘dirasmikannya’.

Krew Jurnal sempat menjengah dapur di rumahnya di Tiara Ampang, Ampang, Selangor.

Ringkas saja rekaannya. Memilih gabungan rona putih dan hijau pelbagai ton, salah satu ruang rumah kegemarannya itu kelihatan kemas dan bersih.

“Tengok kepada tuan rumah juga. Bagi saya, dapur tidak sepatutnya terlalu besar. Kalau kedudukan bahan yang hendak digunakan dalam masakan terlalu jauh, makanan boleh hangus dulu.

Dapur saya perlu ada tempat simpanan yang banyak. Kita tidak tahu apa yang kita akan beli pada masa hadapan. Ada orang yang suka mengumpul pinggan mangkuk, bekas kedap udara dan sebagainya,” ujar chef tersohor itu.

Kalau untuk perkakasan dan peralatan yang kerap digunakan, kongsi Chef Wan, dia akan membeli yang tahan lama dan tahan lasak.

“Jadi saya tidak kisah kalau berbelanja sehingga RM30,000 sekali pun untuk ketuhar semata-mata. Ketuhar saya itu sudah lapan tahun dan masih berfungsi dengan baik,” dedah chef berketurunan Baba dan Nyonya di sebelah ibunya itu.


DAPUR perlu menyediakan tempat simpanan barang yang banyak.


Satu lagi ciri wajib yang perlu ada di dapurnya ialah pulau (island). “Dapur saya perlu ada pulau. Ia penting sebab saya suka berkongsi cara memasak satu-satu masakan dengan kawan-kawan. Jadi senang mereka dapat lihat apa yang sedang berlaku,” ujarnya.

Selebriti itu berjaya menawan hati puluhan ribu wanita dengan pakej celoteh dan mahir memasak sepanjang kerjayanya – memberinya peluang untuk melihat dapur di rumah pengikutnya.

Pencahayaan

“Saya kenal isteri seorang hartawan yang mengubahsuai dapurnya menjadi sebesar sebuah bilik tari (ballroom). Bilik-bilik tidur di rumah itu, sebaliknya, dibina kecil. Padahal dia tidak pandai memasak. Jadi saya lihat dia sudah melakukan satu kesilapan yang besar di situ,” kata Chef Wan.

Sepatutnya kata Chef Wan, pertimbangkan beberapa perkara sebelum melakukan pengubahsuaian pada bahagian dapur. Antaranya termasuklah berapa kerap dia akan menggunakan dapur itu, saiz isi keluarga, sama ada dia akan melayan tetamu di dapur, dan kemampuan.


PEMBAHAGI ruang yang sarat nilai seni.





Ada rumah-rumah besar yang dikunjungi, memiliki stor makanan.

Stor ini untuk mengelakkan tuan rumah perlu membeli barang-barang dapur berulang kali, terutama keluarga besar. Tetapi rumah yang saya kunjungi itu, stor makanannya saja sudah seperti sebuah pasar raya. Tetapi dia tidak memasak.

“Jadi apabila sudah sampai tarikh luput, dia campak saja stok-stok makanan itu ke dalam tong sampah. Dapur sepatutnya direka dengan fungsi yang tepat dan sempurna mengikut keperluan tuan rumah, bukan untuk menunjuk-nunjuk,” tambahnya

Sebagai contoh, jika isi rumah itu gemar makan makanan bergoreng, ada baiknya, nasihatnya, dapur di rumah itu dilengkapi deep frier. Sebaliknya, jika isi rumah itu menjaga pemakanan dan tidak makan makanan bergoreng, sediakan gril pemanggang atau flat-top untuk masakan yang tidak menggunakan minyak.

Ada rumah, kata Chef Wan, memerlukan dapur basah, terutama bagi penghuninya yang gemar memasak.

“Selalunya dapur basah digunakan untuk mengelak daripada menyebabkan keseluruhan rumah berbau masakan ketika memasak. Tetapi rumah moden sekarang menggunakan hud dapur untuk menghalakan pergerakan bau masakan ke luar rumah.

“Saya tidak memerlukan dapur basah kerana dapur kering saya, biarpun bersiling rendah, tidak mendatangkan masalah kerana adanya hud dapur,” kata Chef Wan.

Pencahayaan merupakan satu lagi aspek yang dititikberatkan.

“Disebabkan itu ada banyak tingkap di dapur saya. Terdapat banyak bakteria dalam persekitaran kita yang kita tidak nampak dengan mata kasar.

“Jadi pencahayaan dan pengudaraan yang baik dapat mengurangkan risiko keracunan makanan. Selain itu, dalam keadaan terang, kemalangan di dapur juga dapat diminimumkan,” jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...