Saturday, September 19, 2009

Reda ibu, reda Allah

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: “Umat Islam perlu sedar bahawa keredaan Allah terhadap seseorang bergantung kepada keredaan ibu terhadap dirinya,” kata Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Kiyai Samsudin.

Menurut beliau, menghargai ibu bukan hanya sehari dua kerana jasa yang tidak ternilai dan perbuatan anak yang sanggup menjadi si tanggang hingga tergamak menyisihkan ibu, apa lagi pada bulan puasa tidak selari dengan kehendak agama.


“Sekiranya kejadian berkenaan benar, ia bermaksud seseorang anak itu melupai segala kepayahan yang diharungi ibu termasuk memikul beban mengandungnya selama sembilan bulan selain membesarkannya menjadi insan berjaya,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam, mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan seorang ibu tua berlari mengejar sejauh kira-kira 20 meter semata-mata mahu mengikutnya pulang beraya di rumah.

Wanita berusia 70-an yang menggendong bungkusan baju cuba mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.

Suasana itu menghancurkan impian warga emas berkenaan yang juga penghuni rumah jagaan warga emas dan psikiatri di Jalan Denai 1, di Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.

Menurut Mohd Tahrir, segala pengorbanan yang dilakukan ibu adalah terbaik dan bertujuan bagi memastikan cahaya matanya dapat menikmati kehidupan selesa dan menjadi insan berguna.

Katanya, pengorbanan ibu mahupun bapa seharusnya dijadikan pedoman dalam hidup kerana apabila sudah berjaya, tidak patut melupakan asal-usul.


“Sama ada ibu berkenaan kafir mahupun tidak, tanggungjawab seorang anak ialah memberi layanan baik padanya dan apa salahnya, memastikan Aidilfitri mampu membawa keceriaan kepada ibu tersayang,” katanya.

Sementara itu, seorang sukarelawan dan juga pengasas Persatuan Kebajikan Tiram, Dr Salina Abdullah, berkata ungkapan ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’ menunjukkan betapa pentingnya kedudukan ibu itu sendiri.

Menurutnya, sebagai anak kita seharusnya bersyukur kerana tanpa mereka tidak mungkin kita dilahirkan di dunia ini.

“Saya pernah mendengar cerita bagaimana ada ibu tunggal yang tidak berkemampuan sanggup melakukan kerja berat dan mengikat perut bagi memastikan dapat memenuhi hajat anak demi kasih kepada anaknya.

“Sempena Aidilfitri ini, kita seharusnya kembali menginsafi diri dan menghargai jasa ibu yang sanggup berkorban harta dan nyawa membesarkan kita,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090917072605/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...