Friday, July 17, 2009

Wabak H1N1 di UiTM 'amat membimbangkan'

Wabak H1N1 di UiTM 'amat membimbangkan'
Jul 16, 09 1:51pm
Penularan wabak selesema A (H1N1) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu "amat membimbangkan", kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Daripada 10 kes yang direkodkan hari ini, semuanya tempatan, sembilan daripadanya daripada kampus cawangan Melaka institusi pengajian tersebut.

"Saya kecewa keadaan di Melaka semakin menular dan telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican untuk meneliti sendiri perkara tersebut," Liow dipetik berkata.

"Kampus UiTM di Melaka mesti dipantau, dan jika perlu, beberapa fakulti mungkin perlu ditutup buat sementara," katanya seperti laporan laman web The Star.

Semalam, lapan lagi mahasiswa disahkan positif diserang virus selesema A (H1N1), semuanya pernah berhubung dengan mereka yang dijangkiti wabak di UiTM Melaka.

Bagaimanapun Dr Mohd Ismail menyifatkan keadaan di situ "terkawal dan Pusat Kesihatan UiTM sedang mengambil langkah kawalan dan pencegahan."

Kelmarin, enam daripada pelajar institusi pengajian itu disahkan positif, sementara beberapa puluh yang lain masih dikuarantin sejak hujung minggu lalu.

Liow waktu itu berkata satu pasukan kakitangan kesihatan dikerahkan ke UiTM untuk membuat saringan terhadap pelajar untuk mengawal penularan dalam komuniti.

Dengan 10 kes terbaru itu, jumlah keseluruhan jangkitan virus A (H1N1) meingkat kepada 835 kes, termasuk 273 kes tempatan.

Menurut kenyataan rasmi Dr Mohd Ismail petang ini, daripada 10 kes tersebut, lapan kes menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala dua kes sedang dirawat di hospital, iaitu masing-masing satu kes di Hospital Melaka dan di Hospital Sungai Buloh.

"Tiada kematian akibat influenza A (H1N1) dilaporkan setakat ini," katanya.

"Jumlah pesakit influenza A (H1N1) yang sedang dirawat di hospital seramai 25 orang (atau 3 peratus) manakala sejumlah 105 (13 peratus) menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah.

"Baki 705 (84 peratus) telah sembuh dari jangkitan influenza A (H1N1)."

http://www1.malaysiakini.com/news/108615

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...