Tuesday, February 9, 2010

Ellen wanita istimewa

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
2010/02/08

BEGITU pantas masa berlalu. Dalam diam sudah 10 tahun Diddy atau Syamsul Hirdi Muhid, 25, dan kekasih hatinya Ellen Nor Azah Musa, 25, bercinta.

caption image
caption image
Meskipun dilanda pelbagai gosip termasuk konon putus tunang ternyata cinta Diddy-Ellen tidak mudah roboh

Biarpun pernah dilanda gelora fitnah dan kontroversi, namun atas dasar percaya, jujur dan saling menghormati, mereka tidak pernah putus kasih.

Malah, taat setia pada Ellen yang dipanggil 'Cinta' membuktikan janji yang ditabur tidak hanya ungkapan kosong sebaliknya mampu dizahirkan melalui perkahwinan yang berlangsung kelmarin.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 2006.

Bertempat di Masjid Datuk Jalil Hassan, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor, dengan dua kali lafaz, Diddy kini bergelar suami kepada wanita yang paling dicintanya. Pada majlis yang cukup bermakna itu, Diddy membawa hantaran RM10,000 bersama tujuh dulang yang dibalas sembilan dulang oleh pihak pengantin perempuan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hilang itu turut memakaikan gelang di tangan Ellen ketika menyempurnakan acara membatalkan air sembahyang.

Ketika ditemui selepas majlis persandingan di rumah keluarga Ellen di Kampung Pasir Putih, kelmarin, Diddy yang segak berbaju Melayu rona merah jambu dan gangsa rekaan Hazwanie Osman Couture berkata, dia lega urusan pernikahan berjalan lancar dan Ellen sah menjadi miliknya kini.

"Pada malam sebelum pernikahan, saya langsung tidak boleh tidur kerana terlalu teruja untuk bergelar suami. "Namun selepas urusan akad nikah selesai, saya terus menarik nafas lega. Saya sangat gembira dan terharu akhirnya berjaya menyunting Ellen menjadi teman hidup saya," katanya.


Andai sebelum ini Diddy lebih suka menyembunyikan wajah Ellen daripada khalayak ramai dan peminat, namun pada hari berbahagia itu mereka tidak lokek bercerita mengenai kisah cinta yang dilalui hampir sedekad lalu.

"Ellen wanita yang istimewa dan saya selesa setiap kali bersamanya. Dia melengkapkan kehidupan saya dan amat memahami kerjaya seni yang saya ceburi.

"Kami saling memahami dan kami juga memilih untuk tidak tergesa-gesa mendirikan rumah tangga.

"Semoga rumah tangga yang baru dibina ini berkekalan sehingga ke akhir hayat. Apapun halangan dan dugaan, kami akan tempuhi bersama. Paling penting, kami sudah berjanji untuk saling setia dan mencintai," katanya.

Menambahkan lagi kemesraan suami isteri, Diddy panggil Ellen 'Cinta' dan dia pula dipanggil 'Sayang.'

Tatkala khabar angin putus tunang dibangkitkan, Diddy lebih suka meminta Ellen menjawab bagi pihak dirinya berikutan sudah banyak kali memberikan penjelasan kepada umum.

"Dalam tempoh empat tahun bertunang, dugaan paling besar gosip kami putus tunang.

"Walaupun sedar ia asam garam dalam kerjaya artis namun isu itu sedikit sebanyak memberi tekanan kerana membabitkan keluarga kedua belah pihak.

"Kami tidak pernah putus tunang. Bergaduh sikit-sikit itu adatlah orang dalam darah manis. Tetapi kami memang tidak pernah terfikir untuk memutuskan hubungan yang sudah lama terjalin.

"Biasanya kalau terbaca atau mendengar gosip berbaur kontroversi, saya akan ketawa dulu. Selepas itu, barulah saya hubungi Diddy untuk bertanya hal sebenar dan mendengar penjelasan dari mulutnya sendiri.

"Selepas berkahwin, saya akan terus menyokong karier Diddy kerana itu yang dia minat sejak dulu. Semoga dia lebih berjaya pada masa akan datang dan saya tiada hak untuk menghalang dia meneruskan perkara yang dia suka," katanya.

Diddy pula berkata, sikap Ellen yang perahsia dengan tidak suka bercerita siapa tunangnya kepada rakan termasuk teman serumah membuatkan dirinya sering tertawa sendiri.

"Adakala saya bimbang kerana dia tidak pernah beritahu dengan sesiapa dia sudah bertunang membuatkan jejaka sekeliling tidak berhenti cuba mengorat.

"Malah, rakan serumahnya baru saja mengetahui Ellen tunangan saya. Selama ini, mereka ingat Ellen peminat fanatik Diddy kerana biliknya dipenuhi poster saya selain memiliki pelbagai barangan eksklusif saya," katanya.

Dalam kegembiraan bergelar suami, Diddy terkilan kerana majlis bermakna itu tidak dapat dihadiri bapanya, Muhid Liman, yang meninggal dunia tahun lepas.

"Saya terkilan kerana bapa tiada pada hari pernikahan ini. Sebelum ini, arwah beria-ia hendak membuat persiapan majlis perkahwinan saya walaupun ketika itu masih belum ada sebarang perancangan.

"Rupanya arwah sudah menempah kanopi sebelum dia meninggal tanpa memberitahu ahli keluarga yang lain. "Namun saya reda dan berharap semoga perkhawinan kami kekal bahagia hingga ke akhir hayat," katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ellenwanitaistimewa/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...