Thursday, February 4, 2010

Pukau sambil minta setem

2010/02/03

ALOR GAJAH: “Saya hanya ingat dia kata ‘Adik...nak setem 50 sen dua keping’.

Ketika itu saya langsung tidak melihat mukanya dan hanya memandang komputer. Sebaik mengoyakkan dua setem lalu terus meletakkannya di atas kaunter.


“Ketika itu saya terpandang matanya dan selepas itu saya tidak ingat apa-apa,” kata kerani, Norhidayah Nordin, 19, yang dipercayai menjadi mangsa pukau di Pos Mini Berkomputer Simpang Ampat, dekat sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa bertugas sendirian di pos mini itu dan leka mengira wang hasil kutipan yang akan diserahkan kepada polis bantuan untuk dihantar ke pejabat juruwang di Pos Besar Melaka seperti kebiasaan.


Norhidayah berkata, ketika asyik mengira, seorang pelanggan lelaki masuk dan menuju kaunter sebelum berdiri di hadapan kaunter sambil meminta untuk membeli dua setem.


“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya tidak ingat apa-apa selepas melihat mata lelaki itu. “Dalam dua hingga tiga minit selepas itu baru saya sedar apabila melihat setem masih ada di atas kaunter. Saya hairan lelaki itu tidak mengambil setem itu dan terus memeriksa wang dalam laci.


“Saya terperanjat kerana wang sudah hilang lalu berlari keluar dan cuba mencari lelaki tadi, namun dia tidak kelihatan. “Saya juga bertanya kepada penjual tebu di hadapan kedai dan mereka juga tidak perasan pelanggan saya maksudkan,” katanya ketika di temui, di sini, semalam.


Menurutnya, dia kemudian menghubungi bapanya, Nordin Bentong, 55, dan mereka membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat berhubung kejadian itu.


“Sepanjang setahun dua bulan beroperasi, ini kali pertama kejadian seumpamanya berlaku menyebabkan saya amat takut dan trauma.


“Siapa tahu selepas ini lelaki terbabit akan datang lagi untuk melakukan perkara sama. Namun, saya bersyukur kerana tidak mengalami apa-apa kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.


Norhidayah berkata, disebabkan kejadian berlaku dengan cepat menyebabkan dia gagal mengecam wajah lelaki terbabit.


Katanya, dia hanya dapat mengingati lelaki itu memakai jaket hitam dan bercakap dalam loghat Indonesia.


“Sebelum kejadian, pada sebelah pagi ada beberapa pelanggan datang dan saya kemudian mengira not RM50 yang diletakkan dalam laci. Wang berkenaan berjumlah RM5,800 iaitu hasil kutipan semalam (kelmarin) dicampur dengan baki wang pada hari Sabtu sebanyak RM1,400.


“Ketika mengira wang, lelaki itu sampai dan saya terus menyimpannya semula dalam laci. Saya rasa lelaki itu perasan wang itu,” katanya.


Difahamkan, tiga pegawai Pos Malaysia datang ke pos mini berkenaan serta mengambil beberapa dokumen berkaitan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.


Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pukausambilmintasetem/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...