am@hmetro.com.my
2010/03/18
KULIM: Demi cinta terhadap jejaka Lombok, seorang wanita berusia 20 tahun sanggup tinggal dalam perut kapal selama seminggu dengan hanya makan nasi dan ulam-ulaman setiap hari selepas berkahwin dengan suaminya, Suherman, 25, di negara jiran itu sejak tiga tahun lalu.
Rosnah Abu Bakar, 20, dari kuarters Ladang Sungai Dingin, Mahang, dekat sini, melarikan diri ke Lombok selepas dihalang keluarganya untuk berkahwin dengan kekasihnya itu pada Jun 2007.
Rosnah ketika ditemui berkata, dia bersama Suherman sanggup berdepan cabaran selama seminggu berada dalam perut kapal sepanjang perjalanan dari negara ini ke Lombok.
“Sebaik tiba di sana, kami bernikah di Batam, Kepulauan Riau selepas pihak berkuasa di Lombok enggan menikahkan kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Katanya, selepas berkahwin mereka menetap di kampung Suherman di Desa Tembeng Putih, Lombok.
Rosnah dibawa pulang ke pangkuan keluarganya atas usaha Biro Pengaduan Pemuda Umno selepas lebih tiga tahun menetap di daerah pedalaman Indonesia itu.
Wanita itu tiba bersama anak perempuannya berusia 14 bulan petang kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan disambut bapanya, Abu Bakar Aziz, 49.
Rosnah yang diiringi bapanya menaiki bas dari Shah Alam pulang ke rumah mereka di sini, jam 5 pagi semalam dan disambut ibunya Sombi Md Isa, 41, dan lima adiknya.
Katanya, ketika di Lombok, keluarga Suherman melayannya dengan baik walaupun makanan seharian mereka hanya nasi dan ulam-ulaman dan sekali-sekala ikan dipancing bapa mentuanya.
Bagaimanapun, dia mula menyesal apabila kehidupan mereka di sana bertambah perit tambahan pula Suherman tiada pekerjaan.
“Saya mengambil keputusan menetap dan mencari kerja di sini. Suami juga sudah berada di negara ini dan bekerja melalui ejen serta memiliki dokumen perjalanan sah.
“Saya sedang berusaha mendapatkan dokumen bagi anak saya yang tidak mempunyai sijil kelahiran negara ini,” katanya.
Menurutnya, dia kesal dengan tindakannya dan ingin mengubah kehidupan serta melupakan pengalaman perit masa lalu.
Abu Bakar berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Mahang di sini dan di Balai Polis Sepang, Selangor selepas Rosnah hilang pada Jun 2007.
“Rosnah kemudian menelefon meminta bantuan kewangan kerana suaminya menganggur dan keluarga mentuanya miskin,” katanya.
“Atas rasa tanggungjawab dan kasih sayang, saya mengirim wang antara RM300 dan RM500 setiap dua bulan sehingga tahun lalu,” katanya.
Abu Bakar, mandur sebuah ladang kelapa sawit di sini, berterima kasih kepada Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu terutama Ketuanya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Ketua Pemuda bahagian itu, Mustafa Kamal Shaikh Ismail, kerana membawa pulang Rosnah.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AzabLombok_Makannasiberlaukulam/Article
No comments:
Post a Comment