Wednesday, March 10, 2010

Seluk payudara

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/03/09

KUALA LUMPUR: “Saya dipijak, diheret dan ditendang tanpa belas kasihan lebih 30 minit. Tidak cukup dengan itu mereka juga menyeluk payudara saya,” kata Salmah Salleh, 57, menceritakan detik cemas dia disamun dua lelaki diketuai kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di rumahnya di Bandar Tun Razak di sini, Jumaat lalu.

Menurut Salmah, tindakan keji itu mungkin dilakukan kerana kedua-dua suspek beranggapan dia menyimpan wang di situ.


Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 12.30 malam, dia berseorangan di rumah kerana anak perempuannya, Asmawati Abu Bakar, 33, keluar membeli makanan di kedai berhampiran.


“Pada mulanya, mereka berdua berulang kali menjerit di hadapan pintu rumah sambil meminta wang daripada saya. Mereka mendakwa cucu saya berhutang dengan mereka sebanyak RM200.


“Saya yang ketakutan kemudian mengarahkan mereka datang semula keesokan harinya kerana ketika itu sudah lewat malam,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurut Salmah, kedua-dua suspek kemudian memecahkan pintu rumah sebelum mengugutnya supaya menyerahkan barangan berharga kepada mereka.

Tersentak dengan itu, mangsa memarahi kedua-dua suspek sebelum dia diserang.


Salmah berkata, kanak-kanak itu memegang dan cuba menyeluk bahagian sulitnya dipercayai untuk mendapatkan wang.


“Terkejut dengan tindakan itu, saya menampar suspek, namun rakannya berusia 20-an mula campur tangan dengan menolak saya hingga terjatuh.


“Kanak-kanak itu kemudian memijak kepala saya manakala rakannya itu menendang badan. Walaupun merayu mereka terus membelasah tanpa belas kasihan kira-kira 30 minit,”
katanya.


Salmah yang tidak tahan dibelasah kemudian menjerit sekuat hati menyebabkan kedua-dua suspek panik dan melarikan diri.


Mangsa juga terpaksa mengheret tubuhnya sejauh lima meter untuk mendapatkan telefon sebelum menghubungi Asmawati kerana tidak boleh bangun disebabkan kaki kirinya patah.


Beberapa minit kemudian, anak perempuannya muncul dan bergegas membawa ibunya ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan susulan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Selukpayudara/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...