Friday, April 16, 2010

Kampung Baru Bali dirai Petronas


NORAINI (empat dari kiri) bersama 44 buah keluarga miskin yang menerima sumbangan pada program Sentuhan Kasih anjuran Petronas, Petronita dan UTP di Kampung Baru Bali, Tronoh, Perak.


TIADA kata dapat menggambarkan kegembiraan 470 keluarga di Kampung Baru Bali, Tronoh apabila kampung itu diceriakan dengan pelbagai aktiviti menarik melalui program Sentuhan Kasih Petronas.

Program dua hari yang melibatkan lebih 200 kakitangan Petronas, ahli Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita Petronas (Petronita) berkampung memberi khidmat bakti di kampung berkenaan.

Turut serta dalam program tersebut ialah seramai 55 pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) termasuk beberapa pelajar antarabangsa.

Sepanjang aktiviti kemasyarakatan itu berlangsung, penduduk Kampung Baru Bali tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti yang diatur pihak penganjur.

Antaranya, termasuklah pertandingan bola keranjang, melukis mural, demonstrasi membuat kuih kapit dan senaman tai chi beramai-ramai.

Selain itu, pusat kesihatan milik Petronas, Pusat Perubatan Prince Court dengan kerjasama Hospital Pantai Ipoh turut mengadakan sesi pemeriksaan kesihatan percuma kepada semua penduduk.

Apa yang pasti, keterujaan jelas terpancar di wajah dua orang warga emas, Chan Chon Lan dan Chee Kong apabila kediaman mereka yang uzur dibaikpulih secara gotong-royong oleh peserta program.

Menurut Chon Lan, dia sendiri tidak pernah memasang angan-angan rumah yang dihuni sejak lebih tiga dekad lalu itu akan dibaikpulih.

"Saya seperti bermimpi kerana sebelum ini rumah saya sangat uzur. Tidak sangka ada pihak luar yang sanggup membantu mencantikkan rumah ini," katanya kepada Kosmo!.

Bagai mengiakan apa yang diperkata Chon Lan, Chee Kong pula menganggap komitmen peserta program khidmat masyarakat itu sebagai anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya.

"Mungkin bagi orang lain, kehadiran peserta program ini khususnya membantu membaikpulih rumah sebenarnya sangat bermakna," katanya.

Sentimen sama turut dirasai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Bali, Chen Piang Ho.

Katanya, penduduk sememangnya bersyukur kerana kawasan itu dipilih sebagai lokasi penganjuran program Sentuhan Kasih.

"Memang ramai keluarga dan penduduk yang tidak bernasib baik di kampung ini namun inilah pertama kali program seumpamanya dilaksanakan pihak luar.

"Ia juga merupakan hadiah Tahun Baru Cina yang diraikan baru-baru ini. Kami bersyukur kerana diraikan Petronas," katanya.

Kemuncak program berkenaan semua penduduk diraikan pada majlis makan tengah hari sempena penutup program Sentuhan Kasih yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Bali.

Pada acara penutup yang dihadiri oleh mantan Pengerusi Petronita, Puan Sri Noraini Mohd. Yusoff, dua warga emas miskin, Chan Soo Moy, 80, dan Leng Kwan, 78, yang menghadapi masalah untuk bergerak menerima unit kerusi roda setiap seorang.

Sebanyak 44 buah keluarga miskin di kampung terbabit menerima sumbangan berupa bahan makanan dan angpau yang disampaikan Noraini sempena Tahun Baru Cina.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Presiden (Pendidikan) Petronas, Juniwati Rahmat Hussin dan Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kassim.

Sentuhan Kasih yang dilancarkan pada tahun 2005 merupakan program tahunan dan Kampung Baru Bali dipilih sebagai lokasi pertama penganjurannya di negeri Perak.

Program khidmat bakti itu diadakan bertujuan memupuk dan meningkatkan n semangat sukarelawan di kalangan kakitangan dan individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat petroleum negara itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...