Friday, April 30, 2010

Peralat wanita, model jadi keldai dadah

2010/04/30

KUALA LUMPUR: Mungkin berasakan taktik lama mudah dihidu, rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia kini menggunakan taktik terbaru dengan memperalatkan wanita jelita termasuk model sebagai ‘keldai dadah’.

Difahamkan pemilihan gadis muda dan berperwatakan menarik itu menjadi kriteria utama sindiket dadah yang yakin taktik itu lebih ampuh ketika membolosi pemeriksaan di lapangan terbang berbanding gadis biasa sebelum ini.


Dalam kes terbaru kelmarin, seorang model wanita warga negara Guinea, Afrika, ditahan pihak berkuasa Macau selepas cuba menyeludup dengan menelan puluhan bungkusan kondom kecil diisi heroin di dalam perut.


Sumber polis Bukit Aman berkata, gadis berusia 22 tahun itu dipercayai ‘keldai dadah’ dipergunakan untuk aktiviti penyeludupan dadah heroin berkenaan diberkas di lapangan terbang Antarabangsa Macau sebaik tiba dengan penerbangan dari lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Menurutnya, pihak berkuasa lapangan terbang Macau mengesyaki sesuatu mencurigakan mengarahkan suspek menjalani ujian x-ray sebelum mendapati perut suspek dipenuhi bungkusan kecil mengandungi dadah.


“Suspek dibawa ke hospital tempatan sebelum berjaya mengeluarkan 52 bungkusan kecil dadah seberat 600 gram dari dalam perutnya.


“Suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sara mendakwa pernah menjadi model sebelum diarahkan teman lelaki di Kuala Lumpur untuk menyeludup dadah terbabit ke Macau. Teman lelakinya mengarahkan Sara menelan semua dadah terbabit beberapa jam sebelum menaiki pesawat ke Macau,
katanya.


Menurutnya, pihak berkuasa tempatan menganggarkan semua dadah terbabit boleh mencecah harga kira-kira AS$75,000 (RM255,000).


“Suspek kini ditahan polis dan akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat. Polis percaya penahanan itu ada kaitan dengan aktiviti sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dadah terbabit diseludup ke negara lain,” katanya. Penahanan terbaru itu turut menyusul selepas seorang gadis Filipina ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas diperalatkan oleh beberapa lelaki Afrika di Malaysia menyeludup dadah ke negara itu, Ahad lalu.

Suspek berusia awal 20-an diberkas ketika membawa masuk heroin seberat 2.6 kilogram melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Adisucipto, Yogyakarta selepas menaiki pesawat dati KLIA.


Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap bagasi suspek, pihak berkuasa lapangan terbang itu menemui serbuk dadah heroin seberat 2,611 gram yang disembunyikan di ruangan sulit di dalam bagasi berkenaan.


“Siasatan tidak menolak kemungkinan, suspek diupah dengan bayaran lumayan sindiket dadah antarabangsa berpangkalan di Malaysia untuk menyeludup dadah terbabit ke negara berkenaan,” katanya.

Difahamkan peningkatan tangkapan dan rampasan dadah berasal dari Malaysia mendapat reaksi negatif oleh media Indonesia yang menyifatkan ia berpunca daripada kelonggaran dan kelemahan pihak berkuasa negara ini dalam menghalang penyeludupan dadah ke luar negara.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peralatwanita_modeljadikeldaidadah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...