Monday, April 19, 2010

Seminggu di rumah baru

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my
2010/04/19

SEREMBAN: “Arwah hubungi melalui telefon menyuruh saya bersama anak bersiap untuk keluar kerana dia akan sampai tidak lama lagi,” kata isteri kepada Achik Spin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 14.7 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), dekat sini, petang kelmarin.

HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, berkata tidak lama selepas itu, dia dikejutkan dengan panggilan rakan memberitahu kemalangan yang meragut nyawa suaminya itu.


“Beberapa jam sebelum itu, dia beberapa kali menghubungi dan mengingatkan saya dan anak supaya menonton wajahnya dalam siaran langsung RTM.


“Saya juga ada perasan perubahan agak ketara pada dirinya, bertukar daripada seorang periang menjadi pendiam sejak beberapa hari lalu,”
katanya ditemui di rumahnya di Taman Desa Ros, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang, Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari, 27, maut di tempat kejadian selepas Toyota Estima yang dipandunya terbabas lalu melanggar tiang papan tanda.


Difahamkan hasil bedah siasat mendapati beliau meninggal dunia akibat perdarahan dalaman.


Rakan penyanyi itu, Mohd Solihin Shah Mohd Saleh, 29, yang patah kaki kanan dan tangan kiri kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).


Sementara itu, HM Rose Zaitul Suriani berkata, suaminya bersungguh-sungguh mahu berpindah ke sebelah rumah ibunya sebelum ini.


“Saya tidak sangka ia mungkin petanda yang dia akan pergi dan mahu saya sentiasa dekat dengan ibu.

“Kami berpindah ke rumah teres setingkat yang berkembar dengan rumah ibu saya minggu lalu. Suami sangat gembira dan membersihkan rumah itu setiap hari termasuk mengecat semula dan berjanji mengemaskan dengan sempurna semalam,” katanya sambil menahan sebak.


Menurutnya, sebelum ini Achik begitu sibuk dan sepatutnya semalam mula bercuti untuk meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga serta mengemaskan rumah.


“Dia turut memberitahu selepas ini saya mesti akan gembira kerana tinggal dekat dengan ibu dan dia juga akan selalu berada di Seremban, tidak seperti sebelum ini kerana sering berulang-alik ke Johor atas urusan perniagaan,” katanya.


Menurutnya, dia tidak sangka semua perubahan yang ditunjukkan itu adalah petanda suaminya akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Seminggudirumahbaru/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...