Thursday, May 27, 2010

Along ‘penjara’ pemiutang gagal bayar duit bunga

2010/05/27

AMPANG: Berang kerana duit ‘bunga’ diminta gagal dibayar pemiutang, sekumpulan ceti haram bertindak kejam ‘memenjarakan’ mangsa di dalam rumah dengan memasang mangga kunci pada jeriji pintu rumah mangsa.

RAMPAS...Abdul Jalil (kanan) menunjukkan kain rentang iklan sindiket along terbabit.
RAMPAS...Abdul Jalil (kanan) menunjukkan kain rentang iklan sindiket along terbabit.
Sindiket along itu menggunakan kekerasan dan mengenakan faedah tinggi kepada mangsa kerana yakin mangsa tidak akan membuat laporan polis kerana takut ugutan itu.


Bagaimanapun, seorang daripada mangsa along terbabit yang giat menjalankan kegiatan mereka sekitar Ampang Jaya membuat laporan polis pada 20 Mei lalu selepas menerima beberapa ugutan sindiket itu.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mangsa meminjam wang RM2,000 daripada seorang along daripada kumpulan itu dan sudah menjelaskan hutangnya RM6,000.


“Mangsa bagaimanapun dimaklumkan bayaran itu hanya kadar faedah,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang berterusan menerima ugutan mendiamkan diri menyebabkan along terbabit berang dan mengurungnya dalam rumah mangsa.


Abdul Jalil berkata, bertindak daripada aduan, pasukan khas ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayahnya untuk menangkap sindiket terbabit.


“Kami menyerbu sindiket itu ketika mereka dalam perjalanan menaiki Toyota Vios untuk berjumpa peminjam yang gagal membayar pinjaman mereka di sebuah restoran berdekatan Pandan Perdana di sini.


“Kami menahan empat lelaki termasuk ketuanya dikenali sebagai Yong. Mereka bergiat aktif memberi pinjaman wang tanpa lesen di Ampang Jaya,”
katanya.


Dipercayai keempat-empat mereka yang berusia 24 hingga 29 tahun itu turut terbabit kegiatan menyimbah cat merah dan menggunakan senjata untuk mengugut mangsa membayar pinjaman mereka.


Abdul Jalil berkata, polis merampas lapan telefon bimbit, wang tunai RM1,424, buku cek bank, tujuh kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan 237 gulung kain rentang iklan dipercayai untuk digantung di tepi jalan dan kawasan perumahan serta kereta Vios terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Along__8216_penjara__8217_pemiutanggagalbayarduitbunga/Article

1 comment:

Head Editor said...

Sebenarnya Along dipanggil PEMIUTANG iaitu pemberi hutang. Yang memimjam dipanggil PENGHUTANG. Macam mana surat khabar boleh salah guna istilah ni ?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...