anbia@hmettro.com.my
2010/05/12
KUALA LUMPUR: Berkorban demi cinta tidak kena tempat apabila seorang lelaki sanggup ‘menjual nyawa’ sendiri semata-mata mahu memenuhi permintaan kekasih hati yang memintanya membawa dan menyeludup syabu.
Walaupun menyedari hukuman berat menanti sekiranya diberkas, suspek yang berusia 27 tahun langsung tidak memikirkan risiko terbabit selepas diarah kekasihnya membawa dadah ke Indonesia.
Sumber Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berkata, suspek yang dikenali sebagai Chuin Hwa, 27, bagaimanapun diberkas pihak berkuasa lapangan terbang Antarabangsa Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta sebaik tiba dengan pesawat Jumaat lalu.
Menurutnya, suspek sebelum itu menaiki penerbangan dari Shenzen, China menuju ke Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Jakarta.
“Ketika kejadian, suspek ditemani seorang lagi rakannya, Kuong Yee, 26, yang juga rakyat Malaysia dan suspek yang menjalani pemeriksaan bagasi ditahan pihak keselamatan lapangan terbang selepas disyaki membawa bahan terlarang.
“Berikutan itu, beg suspek diperiksa menggunakan alat imbasan x-ray sebelum pihak berkuasa menemui beberapa bungkusan kecil disembunyikan di ruangan sulit di dalam beg terbabit,” katanya.
Difahamkan, dadah itu dianggarkan seberat 5.6 kilogram dan boleh mencecah harga pasaran melebihi RM100,000.
“Siasatan mendapati, suspek sudah dua kali ke Indonesia,” katanya.
Berdasarkan siasatan, seorang suspek mendakwa dadah berkenaan adalah milik kekasihnya bernama ‘ L’ dan dia hanya mengikut permintaan kekasihnya itu untuk membawa dadah berkenaan ke Jakarta.
Difahamkan sepanjang tahun ini, pihak berkuasa Indonesia sudah memberkas enam warga negara Malaysia selepas dikesan cuba menyeludup lebih 100 kilogram dadah ke negara berkenaan.
Dalam kes terbaru Sabtu lalu, seorang warga Malaysia dari Bukit Pasir, Muar, Johor ditahan pihak berkuasa Rokan Hulu di daerah Riau, Indonesia selepas memiliki 27 paket kecil dipercayai syabu.
Terdahulu, kedua-dua ‘keldai dadah’ warga Malaysia turut ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dikesan cuba menyeludup dadah methamphetamine seberat 2.2 kilogram (kg) berharga lebih AS$200,000 (RM688,000) mengikut harga pasaran negara berkenaan. Kedua-dua suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai Denpasar, Bali, selepas menyembunyikan dadah terbabit yang sengaja dibalut ketat sebelum diikat pada perut.
Sebelum itu, seorang wanita Malaysia turut ditahan di Kepulauan Riau, Indonesia Selasa lalu, selepas disyaki cuba menyeludup pelbagai jenis dadah termasuk bahan membuat pil khayal yang dianggarkan bernilai RM2 juta ke republik itu. Suspek yang berusia 45 tahun ditahan di Pelabuhan Karimun, Tanjung Balai sejurus tiba dari Pelabuhan Kukup, Pontian menggunakan bot ekspres, MV Marina Baru 5, selepas mesin pengimbas mengesan objek mencurigakan dalam bagasi dibawanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bawadadahkeranacinta/Article
No comments:
Post a Comment