Friday, May 7, 2010

Rubiah Suparman kecewa

Oleh Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
2010/05/07

KUALA LUMPUR: Bekas pelakon popular era 80-an kecewa kerana mendakwa ‘dipermainkan’ Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya sehingga menyebabkan urusan menyambung permit kerja lima pekerja warga asingnya gagal dibuat dalam tempoh ditetapkan walaupun sudah membuat urusan lebih awal sebelum permit berkenaan tamat tempoh.

Berikutan itu, pelakon berkenaan, Rubiah Suparman, 63, bimbang kerana berkemungkinan dikenakan kompaun atas kesalahan menggaji pekerja asing secara haram.


Menurutnya, dia sudah melakukan urusan penyambungan permit pekerja itu hujung Mac lalu, namun permohonannya itu masih tidak diberi sebarang jawapan biarpun sudah mendapat sokongan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. “Saya hairan walaupun sudah mendapatkan tandatangan menteri pada 24 Mac lalu, permohonan saya masih tidak dilayan. Permit itu tamat pada 29 Mac,” katanya ketika ditemui.


Menurutnya, dia hairan sekalipun sudah mendapat tandatangan menteri permohonannya tidak dilayan, inikan pula jika tiada tandatangan atau sokongan menteri.


Katanya, akibat masalah itu, dia terpaksa melupakan hasratnya menambah cawangan rangkaian Restoran Puteri di tempat lain.


“Sudah banyak kali saya menghubungi jabatan itu untuk menanyakan hal ini, tetapi mereka hanya memberi jawapan acuh tidak acuh, saya hanya mahu tahu status permohonan saya, jika tidak saya akan dikenakan kompaun kerana semua permit pekerja saya sudah tamat tempoh,” katanya.


Pemilik rangkaian Restoran Puteri yang beroperasi di sekitar Lembah Klang yang memiliki empat buah cawangan iaitu Brickfields, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Sungai Penchala, dan Cheras itu berkata, kelewatan pembaharuan permit itu akan memberi kesan yang teruk kepada perjalanan operasi perniagaannya.


“Saya boleh jamin kelima-lima mereka mempunyai rekod bersih daripada sebarang jenayah selain cekap, berdedikasi, jujur dan amanah. Lagipun sudah lima tahun mereka bekerja dengan saya terutama tukang masak saya. Menurutnya, sekiranya masalah ini dipandang enteng oleh jabatan itu, besar kemungkinan dia terpaksa menutup beberapa cawangan lain, kerana ketiadaan pekerja yang boleh diharapkan.


“Bukan saya tidak mahu mengambil pekerja tempatan, tetapi pengalaman lalu membuatkan saya serik, malah mereka menghilang begitu saja atau berhenti dengan alasan yang tidak munasabah,” katanya. Rubiah turut mengakui sukar mendapatkan pekerja tempatan, ramai di kalangan pengusaha restoran di negara ini, terpaksa bergantung kepada pekerja asing.

“Saya mahu lakukannya mengikut saluran yang betul, jika saya perlu ke jabatan itu untuk mengadu, maka saya akan pergi, tetapi sudah tiga minggu saya menghantar permohonan, tiada maklum balas daripada mereka, malah satu panggilan telefon pun saya tidak pernah dapat, memberitahu sama ada ia sudah atau sedang diproses, “ katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RubiahSuparmankecewa/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...