2010/05/17
KUALA LUMPUR: Lazimnya cemburu dikaitkan dengan perasaan sayang terhadap insan dicintai. Namun, cemburu menggila boleh mengubah segala-galanya bertukar menjadi di luar kawalan.
Itu yang berlaku kepada seorang gadis berusia 23 tahun apabila menjadi mangsa amarah teman lelakinya yang cemburu dan mengesyaki dia mempunyai hubungan sulit.
Akibatnya, mangsa cedera teruk di kedua-dua telinga selain beberapa kecederaan di tangan dan paha selepas dibelasah kekasihnya.
Wanita terbabit bukan saja dilibas dengan pengunci stereng malah, turut ditendang di perut selain disebat dengan tali pinggang oleh teman lelakinya.
Tidak cukup dengan kekejaman itu, mangsa turut ditolak dengan kuat hingga terhantuk ke dinding selain teman lelakinya mengambil pisau dengan mengugut untuk menoreh pergelangan tangannya dan menendang punggung wanita berkenaan. Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang Rabu lalu ketika mangsa bersama teman lelakinya berada dalam kereta di Cheras.
“Ketika berada dalam kereta, teman lelakinya yang mengesyaki dia mempunyai hubungan sulit dengan orang lain mengajukan pelbagai soalan kepada mangsa.
“Namun, setiap kali mangsa memberikan jawapan dia ditampar kerana teman lelakinya itu tidak berpuas hati dengan setiap penjelasan yang diberikan,” katanya.
Sumber terbabit berkata, ketika dalam kereta itu juga mangsa turut dihayun pengunci stereng yang terkena kaki oleh teman lelakinya yang masih tidak berpuas hati.
“Bagaimanapun, teman lelaki wanita terbabit menghantar mangsa pulang ke rumah dan dalam perjalanan mereka dikatakan masih bertengkar.
“Pertengkaran itu berlaku disebabkan teman lelaki mangsa dikatakan masih tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan wanita terbabit,” katanya.
Menurut sumber itu, sejurus sampai ke rumah, teman lelakinya yang masih tidak berpuas hati secara tiba-tiba bertindak di luar dugaan apabila masih menyerang mangsa.
“Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut mengacukan pisau selain menumbuk perut dan menolak mangsa hingga terkena dinding,” katanya.
Menurutnya, selepas puas membelasah teman wanitanya itu, lelaki terbabit turut berpesan supaya mangsa tidak melaporkan kejadian itu kepada polis jika tidak mahu diapa-apakan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Satujawapansatutamparan/Article
No comments:
Post a Comment