Sunday, May 9, 2010

Tempah neraka

2010/05/09

KUALA LUMPUR: “Mereka bukan saja derhaka kepada ibu tetapi juga Allah dan golongan ini secara terang menempah neraka,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berhubung tindakan segelintir anak mengasari dan mengabaikan ibu mereka.

“Perkara ini jelas dalam Islam iaitu setiap anak yang menderhaka kepada ibu serta bapanya akan ditempatkan di neraka jahanam,” katanya ketika dihubungi.


Mengulas nasib menimpa Aminah yang kini di pusat penjagaan orang tua hanya kerana anaknya percaya dakwaan bomoh ibunya membela hantu raya, Noh berkata, anak wanita berkenaan membuat dua dosa dalam satu masa iaitu derhaka pada ibu dan syirik pada Allah.


“Dengan mempercayai sesuatu perkara tahyul, seseorang itu syirik dan setiap amalan serta amal ibadat mereka tidak akan diterima selama 40 hari, selain mati dalam keadaan tidak beriman jika tidak sempat bertaubat.


“Jadi kalau mereka terbabit dalam kedua-dua perkara itu, mereka memang dosa berganda-ganda dan hanya taubat serta pengampunan ibu boleh menyelamatkan mereka,”
katanya.

Menurutnya, Islam melarang umatnya percaya kepada bomoh atau sebarang unsur menyesatkan sama ada mereka melakukannya secara serius atau sekadar suka-suka.


“Mereka perlu membuat taubat nasuha dan mengucap dua kalimah syahadah di samping berhenti melakukan perkara berkenaan dan memohon keampunan ibu,” katanya ketika dihubungi.


Noh berkata, dalam Islam, perbuatan meninggikan suara kepada insan bergelar ibu sudah jatuh hukum berdosa, apatah lagi mengasari dan menyingkir mereka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tempahneraka/myMA/myArticle/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...