am@hmetro.com.my
2010/06/15
MASJID TANAH: “Saya tergamam menyedari wajah saya terpampang di dada akhbar lalu mengambil keputusan pulang ke rumah keluarga kerana timbul perasaan kurang enak tambahan pula menyusahkan ramai orang.”
Begitu kata Nur Izatul Amirah Yohanis, 16, yang kembali ke pangkuan keluarga di Kampung Permatang Darat, di sini, selepas didakwa lari bersama kekasih siber, selain meninggalkan sekeping nota buat ibunya, kelmarin.
Kepulangan Nur Izatul yang masih menuntut di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru, dekat sini, sekali gus menceriakan keluarganya selepas menyembunyikan diri di Kuala Lumpur sejak lebih seminggu lalu.
Nur Izatul ketika ditemui berkata, dia mengambil keputusan nekad meninggalkan rumah seorang diri kira-kira jam 11 malam Jumaat 4 Jun lalu dan bukan bersama teman lelaki seperti didakwa ibunya sebelum ini.
Katanya, dia tertekan akibat pengaruh rakan sebaya dan bercadang menamatkan sekolah disebabkan perasaan mahu mencari duit sendiri timbul membuak-buak.
“Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk lari dari rumah dan ketika emak tidur, saya menghubungi rakan di kampung berdekatan untuk menumpang tidur sebelum ke bandar Melaka keesokannya. “Saya mengambil bas di Terminal Melaka Sentral sebelum ke Kuala Lumpur pada waktu tengah hari dan tiba di Bukit Jalil kira-kira jam 3 petang. “Saya kemudian diambil rakan untuk bermalam di rumah saudaranya di Pandan Indah,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.
Harian Metro Sabtu lalu melaporkan seorang remaja perempuan lari dari rumah dengan meninggalkan nota meminta tidak mencarinya.
No comments:
Post a Comment