2010/07/18
KUALA LUMPUR: Tindakan pantas sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Wilayah Persekutuan menyerbu tapak sebuah ekspo telefon bimbit murah berjaya menyelamatkan seorang artis remaja daripada ditipu sindiket menjual telefon bimbit palsu.
BARANG TIPU... anggota KPDNKK Wilayah Persekutuan menyiasat premis menjual telefon bimbit tiruan.
HEELA...bayar deposit
Penjual di ekspo terbabit yang membuka tapak perniagaan di depan sebuah pusat beli-belah di Taman Connought, Cheras, di sini, dikatakan berjaya memujuk artis itu membeli dua unit telefon bimbit palsu jenama Nokia dan iPhone dengan tawaran ‘harga runtuh’.
Heela yang ditemui di lokasi kejadian bersama ibunya, Noriah Mat Isa, 42, berkata dia tertarik untuk membeli telefon bimbit berjenama terkemuka itu selepas dipujuk dengan tawaran harga luar biasa oleh penjual di ekspo bergerak berkenaan, petang kelmarin.
“Mereka mendakwa harga asal dua telefon bimbit terbabit boleh mencecah sehingga RM3,000 tetapi dua unit telefon bimbit itu dijual dengan harga RM1,000 saja. Namun berikutan kekurangan wang, saya hanya membayar deposit RM200 dan bersetuju membayar bakinya semalam.
“Namun sebaik datang untuk membayar baki harga telefon bimbit kira-kira jam 11.30 pagi, saya dan ibu terkejut apabila mendapati gerai menjual telefon bimbit berkenaan diserbu pegawai KPDNKK,” kata artis terbabit yang pernah membintangi teater Gamat dan Kita The Muzikal.
Menurutnya, dia cuba menuntut semula wang depositnya tetapi jurujual di gerai berkenaan enggan melayan permintaannya.
Dia yang juga bakal mengeluarkan album single bertajuk Heela terbitan komposer, Julfekar, bagaimanapun bernasib baik apabila Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, menawarkan bantuan bagi memaksa peniaga terbabit memulangkan wang mangsa.
“Ketika itu baru saya sedar telefon bimbit yang dibeli itu adalah model tiruan yang dibawa masuk ke negara ini. Telefon bimbit itu dijual murah berikutan ia mudah rosak dan menyerupai model tulen hampir 100 peratus,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran filem ‘Aku Tak Bodoh’ terbitan sebuah syarikat dari Singapura.
Sementara itu, Othman yang ditemui di lokasi kejadian berkata, seramai 12 pegawai KPDNKK melakukan serbuan serentak di ekspo bergerak terbabit yang dikesan menjadi lokasi menjual telefon bimbit tiruan.
Dalam operasi terbabit, 14 gerai diperiksa dengan kebanyakan peniaga di kawasan terbabit baru ingin memulakan perniagaan.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 139 unit telefon bimbit jenama terkenal yang dianggarkan bernilai RM100,000 berjaya dirampas daripada peniaga.
“Kami akan mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Kawalan Harga 1946 atas kesalahan menjual barangan palsu dan menjual produk tanpa meletakkan tanda harga,” katanya.
Menurutnya, rampasan itu yang terbesar tahun ini selepas melakukan 34 serbuan sama di beberapa lokasi lain sejak Januari lalu.
“Saya menasihatkan orang ramai berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran telefon bimbit berjenama dengan harga terlalu murah kerana ia didapati mempunyai perkakas tiruan dan mudah rosak selepas beberapa hari dipakai.
“Mangsa biasanya gagal mendapatkan ganti rugi berikutan ahli sindiket akan berpindah-randah selain menggunakan alamat premis palsu,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Artishampirditipu/myMA/myArticle
No comments:
Post a Comment