KALAU 15 tahun dahulu, kes isteri curang mungkin berlaku satu daripada 30 kes, tetapi kebelakangan ini kes isteri curang boleh berlaku antara lima hingga enam daripada 10 kes.
Perlu ada penerangan khusus tentang maksud curang. Sejauh mana curangnya pasangan? Adakah ia sekadar berkawan, bercinta atau sudah bersama di tempat tidur?
Bagi suami atau lelaki, kalau sekadar berkawan atau bercinta, bagi saya masih belum boleh merujuk ia sebagai curang. Berbeza dengan isteri atau wanita, syarak mengharamkan isteri menyimpan rasa suka apatah lagi rasa cinta kepada lelaki selain suami.
Jika isteri bercinta dengan lelaki lain, isteri itu boleh dikategorikan sebagai curang tidak kira apa pun sebabnya termasuk kegagalan suami menunaikan tanggungjawab.
Kalau suami gagal melaksanakan tanggungjawab menyebabkan isteri beralih kasih, isteri perlu keluar daripada perkahwinan dan bukan dengan bertindak curang kepada suami.
Islam menentukan, isteri perlu hormatkan suami walau dalam apa juga keadaan. Jika tidak mampu menghormati suami, keluarlah daripada perkahwinan secara terhormat.
Berdasarkan kes yang berlaku, tiga punca berlakunya isu pasangan curang, tidak kira di pihak isteri atau suami.
Cuba-cuba
Ada individu yang sekadar mahu cuba-cuba, kerana ingin tahu sama ada dirinya masih cantik dan laris di kalangan kawan-kawan di tempat kerja. Bermula hanya cuba-cuba dan apabila sudah berjaya, maka hati akan berbunga. Kemudian hubungan kawan akan mula berpanjangan dan bertukar menjadi pasangan istimewa.
Simpati berlebihan
Ada pula yang bermula dengan simpati terutama apabila saling berkongsi ujian hidup masing-masing atau berkenalan di tempat kerja.
Simpati bertukar kasihan hingga sanggup berkorban apa saja demi kawan dan akhirnya menjadi kekasih hati hingga lupa status sebenar diri yang telah mempunyai insan yang wajib dikasihi dan diberikan perhatian.
Balas dendam
Ada juga kes berpunca daripada balas dendam. Saya pernah mengendalikan satu kes awal tahun ini. Seorang isteri dibelasah oleh suami dengan getah paip hingga melecur seluruh badan (bagai terkena air panas) gara-gara terbongkar rahsia si isteri tidur dengan lelaki lain. Bagaimanapun apabila diselidiki si isteri berbuat demikian disebabkan sakit hati dengan sikap suami yang suka bertukar-tukar pasangan.
Di samping tiga faktor pendorong ini, sebab-sebab lain termasuklah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumah tangga.
Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama juga perbaiki diri demi keharmonian rumah tangga.
Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu kerana keikhlasan yang wujud boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan melakukan kesilapan yang sama.
Seorang yang ikhlas dalam hubungan perkahwinan akan reda dan percaya, kesilapan yang dilakukan oleh pasangannya adalah sebagai ujian daripada Allah dan perlu berusaha untuk membetulkan kesilapan pasangan.
Andai gagal dibantu setelah usaha dan doa dilakukan, jalan terbaik adalah keluar daripada perkahwinan dan bukan turut serta mengulangi kesilapan pasangan yang hakikatnya akan mendatangkan lebih banyak keburukan kepada perkahwinan, malah kepada diri sendiri, pasangan dan anak-anak.
Sebagai langkah pencegahan, perkara paling penting adalah bersikap berterus-terang, berbincang dan cuba mengatasi segala masalah yang ada.
Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi. Sebaiknya, bila isteri merasakan ada yang kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus-terang dan suami pula perlu bersikap terbuka.
Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiarkan dan usahakan jalan penyelesaian. Jangan sewenang-wenangnya mendabik dada berbangga inilah anda dan langsung tidak mahu berubah.
Tidak salah berubah sikap jika ia baik untuk perkahwinan dan rumah tangga. Menerima pasangan seadanya bukan bererti perlu terima kelemahan yang tidak perlu, sebalik kelemahan itu boleh dibaiki. Menerima seadanya bermaksud terima dirinya dan usahakan yang terbaik bagi membantu mengatasi kelemahan masing-masing.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0716&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm
No comments:
Post a Comment