Friday, July 30, 2010

Mahkamah Arah Wanita Bunuh Anak Jalani Rawatan Mental

Jumaat Julai 30, 2010

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan wanita yang didapati tidak bersalah atas tuduhan menjerut leher dua anaknya hingga mati, supaya menjalani rawatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Hakim Datuk Mohd Zaki Nohd Yassin membuat keputusan itu di akhir perbicaran kes setelah mendapati tertuduh Rosniza Ibrahim, 30, menghidap penyakit kemurungan serius dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika melakukan perbuatan itu.

"Memang tertuduh yang melakukan perbuatan itu (jerut leher anak hingga mati)tetapi mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah atas alasan ketidakupayaan mental.

"Tertuduh juga telah berada dalam keadaan kemurungan serius untuk tempoh 2000 hingga 2007 kerana masalah rumah tangga dan suami yang mahu berkahwin lain," katanya ketika membacakan penghakiman.

Mohd Zaki berkata Rosniza, yang juga sentiasa berada dalam keadaan tertekan, selalu mengurung diri, tidak keluar rumah, tidak bercakap dengan jiran tetangga, rasa terasing, keliru, hilang keyakinan terhadap Allah dan hilang keyakinan diri.

"Disebabkan tekanan perasaan yang melampau juga tertuduh sering memukul dirinya sendiri dengan getah paip," katanya.

Rosniza yang berasal dari Kuala Kurau, Perak menghadapi dua tuduhan membunuh anak-anaknya di rumah No 7216, Taman Indah, Lebuh Batu Maung 8, Bayan Lepas pada 18 Feb 2007.

Dia didakwa membunuh Muhamad Alif Hakimi, 6, pada jam 11 malam di rumah itu manakala Muhamad Alif Hazimi, 2, kira-kira 15 minit kemudian di tempat dan pada hari yang sama.

Selain itu, laporan perubatan oleh Pakar Perunding Forensik dan Psiakitri Dr Rabiah Mohd Salleh dari Hospital Bahagia Ulu Kinta membuktikan bahawa Rosniza memang berada dalam kemurungan yang serius dalam tempoh dua bulan menjalani rawatan dari 2 Mac 2007 hingga 30 April 2007.

"Tertuduh berada dalam keadaan tidak waras semasa dia melakukan perbuatan itu, tidak tahu dan tidak sedar bahawa perbuatannya adalah salah di sisi undang-undang," katanya.

Rosniza diwakili peguam K. Simon Murali dan pendakwaan dilakukan oleh Arik Zakaria Abdul Kader.

Rosniza yang berbaju-t lengan panjang perang gelap dan berseluar sukan biru gelap, berpelukan dengan anggota keluarganya serta menangis selepas keluar dari mahkamah.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/7/30/mstar_mahkamah/20100730142537&sec=mstar_mahkamah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...