PUTRAJAYA: Kerajaan tetap bertegas untuk menguatkuasakan notis pengharaman penjualan petrol RON95 kepada pemilik kenderaan asing berkuatkuasa 1 Ogos depan meskipun terdapat permintaan tempoh berkenaan dilanjutkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh yang diberikan sebelum ini sudah mencukupi kerana pemberitahuan itu tidak melibatkan sebarang perubahan atau kos tambahan yang membebankan pengedar.
Pengedar dan pengusaha stesen minyak, katanya, perlu bertanggungjawab dan memahami hasrat kerajaan yang hanya mahu memberikan subisidi berkenaan kepada rakyat Malaysia.
“Alasan mereka memerlukan masa tidak timbul kerana pengharaman penjualan itu tidak melibatkan sebarang perubahan pada stesen minyak dan penggunaan duit. Bukan saya tidak mahu layan permintaan mereka, tetapi harap mereka faham hasrat kerajaan untuk memberikan subsidi itu hanya pada rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan-Persatuan Pengguna di kementeriannya, di sini, semalam.
Pertemuan dan dialog itu merupakan aktiviti tahunan kementerian yang diadakan dua kali setahun, khusus untuk membincangkan pelbagai isu kepenggunaan.
Katanya, perjumpaan semalam khusus bagi membincangkan segala kempen yang dijalankan kementerian mengenai amalan hidup sihat dan pengambilan makanan berkaitan gula terutama menjelang Ramadan.
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petrol Malaysia (PDA) sebelum ini meminta agar tempoh pemberitahuan itu dilanjutkan kepada sebulan kerana memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu.
Presidennya, Datuk Hashim Othman berkata, mereka dan pelanggan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut memandangkan tempoh yang diberi terlalu singkat dan segelintir pelanggan mungkin tidak menyedari perubahan itu. - Bernama
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PeraturanjualRON95tetapdilaksana/Article
No comments:
Post a Comment