LORONG-LORONG di setiap pelosok Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak pernah sunyi dengan hiruk-pikuk penghuni ibu kota yang bertandang tamu ke sana. Sudah tentu, tujuan utama rata-rata pengunjungnya adalah untuk memenuhi selera masing-masing.
Sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini tidak akan berasa gusar untuk pulang dengan perut kosong. Ini kerana, pilihan makanan yang tersedia pelbagai kadangkala membuat sesiapa sahaja rambang mata. Apatah lagi bebeberapa nama kedai makanan seperti Nasi Lemak Antarabangsa turut berlokasi di situ.
Selain nasi lemak, pilihan makanan laut, ikan bakar, nasi kerabu dan aneka kuih boleh didapati di satu-satunya kampung yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Ia secara tidak langsung memaparkan sisi budaya yang semakin dicerap elemen antarabangsa.
Masakan tidak, menu tom yam malah stik dan spagheti tidak terkecuali boleh ditemui dengan mudah di Kampung Baru.
Biarpun desas-desus mengatakan bangsa asing tidak dialu-alukan di sini, barangkali faktor agama menjadi alasan yang kuat buat setiap pendatang beragama Islam memenangi hati penduduk di kampung itu.
Justeru, sejak sekian lama, ramai pendatang dan orang luar berhijrah ke sini untuk turut sama membina perniagaan di celah-celah kehidupan Kampung Baru yang didiami sepenuhnya oleh orang Melayu, biarpun hanya menyewa tanah yang sekangkang kera.
Tujuan mereka sama, mencari punca rezeki yang melimpah ruah di tanah bertuah di Kampung Baru yang sudah menjadi satu lokasi yang dipaparkan dalam peta pelancongan negara.
Restoran Nang Kam Seafood yang terletak di Jalan Raja Uda, Kampung Baru merupakan salah sebuah restoran yang dibangun pasangan berasal dari Thailand. Mereka sudah menyewa tanah di situ sejak lapan tahun lalu.
Menurut anak kepada pasangan pengasas restoran berkenaan, Norwidah Abdullah, 27, sebelum mereka sekeluarga menjejak kaki ke Kampung Baru, mereka terlebih dahulu mencuba nasib berniaga di sekitar Kampung Pandan dan Pandan Indah Ampang.
"Perniagaan keluarga ini sudah berpindah randah akibat kekurangan sambutan lantaran pembangunan di Kampung Pandan dan Pandan Indah. Lapan tahun lalu kami membuka restoran di sini dan sambutannya sangat menggalakkan.
"Kampung Baru menjadi lokasi paling baik untuk kami membuka perniagaan makanan berbanding di kawasan lain," jelas anak pasangan Abdullah dan Azizah yang dilahirkan di Hatyai itu.
Bercerita lanjut, Norwidah memberitahu nama restoran mereka pada asalnya menyebabkan perasaan kurang senang di kalangan segelintir penduduk kerana tidak menggambarkan nama berunsur islamik.
"Ada penduduk minta kami turunkan papan tanda restoran dan tukar dengan nama lain tetapi lama-kelamaan masalah itu selesai dengan sendirinya apabila kami semakin rapat dengan penduduk kerana sama-sama beragama Islam," katanya.
Norwidah menambah, bapa saudaranya yang dikenali sebagai Ahmad yang juga berasal dari Thailand terlebih dahulu meneroka rezeki di Kampung Baru dan merupakan antara individu yang bertanggungjawab memperkenalkan masakan tom yam di perkampungan itu.
"Bapa saudara saya berhijrah ke sini 30 tahun lalu dan membuka gerai tom yam. Masakan tom yam di restoran kami pula diperkenalkan ibu saya sendiri yang bertindak sebagai tukang masak utama ketika restoran ini mula-mula dibuka dulu," katanya.
Sewa tanah lot
Sementara itu, pemilik pasar raya mini Rina Mini Market, Adi Zainal, 36, yang berasal dari Acheh, Indonesia juga sudah lapan tahun menetap di Kampung Baru dengan menyewa rumah seorang penduduk di situ.
"Pada asalnya, saya datang ke Malaysia 12 tahun lalu untuk bekerja di sebuah kilang di Perak. Pada masa itu saya berkenalan dengan isteri yang merupakan penduduk tempatan dan kami berkahwin.
"Selepas beberapa tahun, hasil perbincangan dengan keluarga, kami membuat keputusan untuk berhijrah ke sini dan membuka perniagaan pasar mini. Tetapi kami hanya menyewa lot kedai kerana orang luar tidak boleh memiliki tanah di sini," jelasnya.
Katanya lagi, berniaga di Kampung Baru memberi rezeki yang baik buat mereka sekeluarga. Kerana itu juga Adi tidak bercadang untuk berpindah walaupun sudah membeli sebuah rumah di Puchong, Selangor.
"Saya sekeluarga akan tetap tinggal di sini kerana di sinilah rezeki kami. Rumah yang sudah dibeli pula akan disewakan untuk keperluan anak-anak pada masa depan," katanya.
Dalam pada itu, seorang pengembara yang berasal dari negeri di Bawah Bayu, Sabah turut mengambil peluang mencari rezeki di Kampung Baru. Takdir Azhar, 21 dibawa ke perkampungan berkenaan oleh kedua orang tua sejak kecil lagi.
"Saya sekeluarga menyewa di Kampung Baru dan sudah lama bekerja di sini. Malah kami sudah terbiasa dengan cara kehidupan di sini berbanding di Sabah.
"Walaupun ibu saya sudah berhijrah ke Pulau Pinang, saya dan abang masih selesa bekerja di sini kerana lokasi yang strategik untuk menjalankan perniagaan," katanya yang bekerja di sebuah kedai pelbagai produk, Stable Steak House yang terletak di bawah bangunan flat PKNS, Kampung Baru itu.
Tanah orang Melayu
Penghijrahan orang luar yang menyewa tanah di Kampung Baru selari dengan kenyataan Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, Shamsuri Suradi, bahawa tanah Kampung Baru tidak boleh diwariskan kepada orang luar.
Menurut beliau, undang-undang itu termaktub selepas Kerajaan Negeri Selangor memberi hak milik tanah kepada penduduk Kampung Baru bagi 940 lot sedia ada, tidak termasuk tanah yang ditetapkan untuk pembangunan surau, masjid, sekolah dan padang permainan pada tahun 1965.
"Orang luar tidak boleh memiliki tanah di Kampung Baru walaupun mereka berkahwin dengan penduduk asal di sini. Tanah hanya akan diwariskan kepada anak-anak pasangan yang berkahwin campur.
"Bahkan, di bawah akta penubuhan Kampung Baru menghendaki sesiapa sahaja yang ingin menetap di Kampung Baru mestilah berketurunan Melayu, beragama Islam, berbahasa Melayu dan membudayakan adat orang Melayu atau diisytiharkan Melayu oleh Lembaga MAS," katanya.
Katanya lagi, Kampung Baru bukan sebarang kampung kerana sejak penjajahan British sehingga Jepun dan selepas mencapai kemerdekaan, akta sedia ada tidak berubah, malah Lembaga MAS yang ditubuhkan pada Januari 1900 masih bertanggungjawab terhadap segala urusan pentadbiran sehingga kini.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0630&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
No comments:
Post a Comment