Thursday, August 12, 2010

Ayam Ramadan semakin mahal


RAMAI peniaga menganggap kenaikan harga ayam adalah perkara biasa pada awal Ramadan tetapi kesannya terpaksa ditanggung oleh orang ramai.


KUALA LUMPUR - Kenaikan harga ayam pada minggu pertama bulan Ramadan berlaku lagi dengan para pembeli di beberapa negeri terpaksa membayar sehingga RM7.50 atau 70 sen melebihi harga biasa bagi setiap kilogram sejak kelmarin.

Senario itu dikatakan gambaran awal bahawa harga ayam boleh mencecah RM10 sekilogram menjelang Syawal selepas harganya kini ditentukan oleh pasaran dan bukan lagi sebagai barangan kawalan sejak 15 Julai lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, keputusan itu diambil memandangkan bekalan ayam semakin stabil.

Bagaimanapun, kesannya kini ramai penjual mendakwa tersepit di antara harga pemborong yang lebih tinggi serta menjadi sasaran kemarahan pelanggan.

Dalam tinjauan Kosmo! di Kuala Terengganu semalam, ayam dijual RM7.50 sekilogram berbanding RM6.90 iaitu kenaikan sebanyak 50 sen.

Peniaga ayam di Pasar Bukit Besar yang dikenali sebagai Pok berkata, kenaikan itu terpaksa dibuat memandangkan mereka membeli pada harga semakin tinggi daripada pemborong.

"Ada dua pemborong ayam yang aktif di Kuala Terengganu dan hampir kesemua peniaga mendapatkan bekalan daripada mereka," katanya.

Di Pulau Pinang, tinjauan di Pasar Bayan Baru pula mendapati ayam dijual di antara RM6.90 hingga RM7.20 sekilogram berbanding RM6.50 sebelum ini.

Keadaan sama juga berlaku di Pasar Awam Tun Sardon apabila pengguna terpaksa membayar lebih 70 sen kerana harga ayam dijual mencecah RM7.20 sekilogram berbanding RM6.50 sebelumnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...