srul@hmetro.com.my
2010/08/18
SHAH ALAM: “Saya hanya ada RM1,000,” kata Julita Mohd Razani, 44, ibu kepada remaja yang dituduh meragut kakitangan Hospital Kuala Lumpur di Jalan Pahang pada hari ketiga Ramadan lalu.
Dia yang bekerja sebagai jurujual berkata demikian ketika Hakim Mahkamah Sesyen, Latifah Mohd Tahar bertanyakan sama ada dia mampu menyediakan RM7,000 untuk menjamin anaknya. “Saya orang susah. Saya bekerja di pasar raya. Usia anak saya 19. Anak bongsu,” katanya menangis tersedu-sedan.
Anaknya, Muhamad Junaidi Alias didakwa meragut beg tangan dan buku nota, dua pen serta RM10 tunai milik pekerja Hospital Kuala Lumpur, Norazura Asmuni, 21. Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.20 petang pada 13 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat.
Bagaimanapun, dia yang tidak bekerja tidak mengaku salah dan minta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Akmalhana Mohamed, menawarkan nilai ikat jamin RM7,000 memandangkan tertuduh ditangkap orang awam di tempat kejadian. Selain itu, katanya, mangsa juga cedera ringan.
Bagaimanapun, Latifah menetapkan jaminan RM2,000 selepas ibu tertuduh berjanji memastikan kehadiran anaknya apabila kes dibicarakan. Mahkamah juga menetapkan 23 September depan bagi sebutan semula kes itu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menangisdepanhakim/Article
No comments:
Post a Comment