Wednesday, August 11, 2010

Minda: Saya tak peduli kritikan

2010/08/10

DATUK Bandar New York, Michael Bloomberg memang terkenal kerana gemar mempamerkan emosinya di tempat awam. Tidak hairan dia mengejutkan ramai pihak minggu lalu apabila berucap menyokong cadangan membina sebuah masjid di bekas tapak Pusat Dagangan Dunia dengan mengenang semula anggota bomba yang terbunuh dalam serangan 11 September 2001.

“Ketika mereka meluru masuk ke bangunan yang terbakar itu, tidak ada sesiapa bertanya mereka: “Tuhan apa yang kamu sembah. Apa agama kamu?” kata Bloomberg.


“Kita tidak menghormati pengorbanan mereka jika kita menafikan hak perlembagaan yang mereka mati kerana memperjuangkannya.” Perbahasan mengenai masjid itu menjadi persaingan proksi berhubung kebebasan beragama dan kepentingan simbol tapak Pusat Dagangan Dunia New York. Tidak ada tokoh awam yang lebih dikaitkan dengan masjid itu selain Bloomberg yang sanggup menggadaikan rasa hormat dan reputasinya untuk projek yang dianggap pengkritik sebagai kemenangan untuk pengganas.


“Beliau percaya kepelbagaian dan kehebatan New York terletak kepada kepelbagaian penduduknya,” kata perancang Demokrat, Hank Sheingkopf yang pernah bekerja untuk Bloomberg.


“Beliau bersifat konsisten. Beliau tidak berhutang kepada sesiapa. Saya yakin beliau tidak tersilap dalam isu ini,” katanya.


Datuk Bandar bilionair itu, bekas anggota Republikan yang kini menjadi anggota bebas, tidak pernah malu dalam memperjuangkan sesuatu yang dipercayainya, daripada menolak cadangan cukai terhadap pengurus saham hingga kepada mengharamkan hidangan lemak tepu di restoran New York.


Bagaimanapun, belum pernah beliau bersungguh- sungguh mempertahankan keputusannya seperti dilakukan dalam isu masjid itu.


Malah, ahli politik yang lantang bersuara, Senator Chuck Schumer, enggan membabitkan diri dalam isu itu.


Beberapa minggu selepas menjawab soalan mengenai masjid itu, Bloomberg akhirnya mengambil keputusan untuk berucap mengenai pandangannya mengenai isu berkenaan. “Beliau mahu berucap secara proaktif dan panjang lebar mengenainya,” kata Timbalan Datuk Bandar, Howard Wolfson, yang membantu merangka ucapan itu.


Bloomberg berucap Selasa lalu di hadapan pemimpin pelbagai agama dengan berlatarbelakangkan Tugu Kebebasan (Statue of Liberty).


“Saya percaya ini adalah ujian penting mengenai dasar pemisahan gereja dengan negara seperti kebanyakan kita saksikan sepanjang hidup kita. Dan adalah penting kita menuju ke haluan yang betul,” katanya.

Masjid itu yang akan dibina dua blok dari bekas tapak Pusat Dagangan Dunia New York akan menjadi sebahagian daripada bangunan 13 tingkat Pusat Islam yang berharga kira-kira AS$100 juta (RM320 juta). Ia juga akan mempunyai auditorium yang boleh memuatkan 500 orang, kolam renang dan gimnasium.


Ia adalah projek Cordoba Initiative, kumpulan aktivis yang giat meningkatkan hubungan antara Islam dengan Barat.


Projek masjid itu menerima bantahan daripada anggota keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan 11 September di samping pemimpin Republikan peringkat tempatan dan kebangsaan, termasuk bekas Gabenor Alaska, Sarah Palin serta bekas Speaker Dewan, Newt Gingrich. Minggu lalu, Liga Anti-Fitnah (ADL), kumpulan hak asasi Yahudi, menyuarakan bantahan.


Beberapa pengkritik membantah pembinaan sebarang masjid berhampiran kawasan berkenaan, tempat hampir 3,000 orang mati, didakwa akibat perbuatan pelampau Islam. Yang lain berkata, mereka bimbang dan sangsi terhadap Cordoba dan pengarahnya, Imam Feisal Abdul Rauf, yang berkata dalam satu wawancara sejurus selepas serangan 2001 itu bahawa dasar Amerika Syarikat adalah sebahagian daripada punca serangan berkenaan. Feisal juga enggan mendedahkan pihak yang membiayai pembinaan masjid itu.

Bloomberg dengan tegas menolak kebimbangan itu.


Beliau melihat masjid itu, seperti projek pembangunan semula yang lain sebagai sebahagian daripada usaha yang akan membuka peluang pekerjaan dan membawa sesuatu yang baru dan menarik di kawasan Manhattan.


Bloomberg begitu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pembangunan. Sepanjang lapan setengah tahun menjadi Datuk Bandar New York, pentadbirannya membuat pengezonan semula beribu-ribu blok mengikut zon di samping mengalu-alukan pembinaan baru di setiap sudut bandar raya itu.


Datuk Bandar itu menolak sama sekali aduan daripada pegawai Republikan mengenai isu masjid itu dengan berkata: “Kerajaan tidak boleh mencampuri urusan syarikat persendirian.


“Bangunan ini adalah harta persendirian dan pemiliknya mempunyai hak untuk menggunakan bangunan itu sebagai tempat beribadat. Kerajaan tidak mempunyai apa juga hak untuk menafikan hak itu.” Datuk Bandar itu mengulas dengan sindiran tajam apabila ditanya sama ada beliau sangsi atau bimbang terhadap Feisal. “Tugas saya bukan untuk memeriksa ulama di bandar raya ini,” katanya.


Jurucakap keluarga mangsa serangan 11 September, Debra Burlingame menuduh Bloomberg diperdaya kerana Feisal mempunyai hubungan dengan kumpulan pelampau Islam dan menyokong usaha islamisasi di Amerika Syarikat.


“Datuk Bandar membangkitkan isu yang mengecewakan setiap anggota keluarga mereka yang terbunuh dalam serangan itu,” kata Burlingame.


“Bloomberg berkata, projek itu ialah mengenai pemisahan gereja dengan negara. Imam itu tidak percaya mengenai dasar pemisahan gereja dan negara. Dia mungkin ketawa besar mengenainya.” Feisal tidak menjawab ketika usaha dilakukan untuk menghubunginya menerusi telefon.

Bagaimanapun, isterinya, Daisy Khan berkata, pusat Islam itu akan termasuk pusat peringatan untuk mangsa serangan 11 September.

Akhirnya, pemerhati berkata, kesediaan Bloomberg untuk membenarkan masjid itu dibina didorong oleh hakikat bahawa ini penggal terakhirnya dan dia tidak perlu berdepan dengan pengundi lagi. “Jika anda tahu anda akan bertanding, anda tidak akan mencetuskan kontroversi. Bloomberg tidak akan bertanding lagi,” kata Sheinkopf. - AP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Sayatakpedulikritikan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...