am@hmetro.com.my
2010/09/06
GERIK: “Mak, datanglah ambil kami. Kami adik- beradik mahu menyambut Aidilfitri nanti bersama mak. Kami semua masih belum ada baju raya.
“Kami terutama adik (bongsu, Muhammad Aidilfitri, 5,) paling rindukan emak dan mahu mak pulang segera. Kenapa mak tinggalkan kami lima beradik sendirian,” keluh Nur Syafiqah Abdullah, 14.
Nur Syafiqah, anak sulung Siti Rohmah Asnawi, 34, seorang warga Indonesia yang berkahwin dengan penduduk tempatan sebelum menghilangkan diri meninggalkan lima anaknya ketika menyewa rumah teres di Setapak Jaya, Kuala Lumpur, Mei lalu.
Empat lagi adik Nur Syafiqah iaitu Nur Syahidah Awang Bakar, 11; Muhammad Azhar, 9; Siti Nur Aishah, 7, dan Muhammad Aidilfitri, 5, menumpang di rumah sewa abang berlainan ibu, Mohd Irwandi Awang Bakar, 24, di Kampung Bersia Lama, Gerik dekat sini, sejak dua bulan lalu.
Nur Syafiqah berkata, sehingga kini, dia hairan kenapa ibunya meninggalkan lima beradik dan ketika itu, ibunya memberikan wang RM100 kepadanya.
“Pada mulanya kami ingat mak nak pergi cari kerja selepas ayah, (Awang Bakar Jusoh) meninggal dunia pada 2 Oktober 2008. “Bagaimanapun, sejak itu mak tidak pulang dan lebih sebulan kami empat beradik makan dan minum atas belas ihsan jiran,” katanya ketika ditemui di rumah sewa abangnya, kelmarin.
Menurut Nur Syafiqah, dia bersekolah sehingga tahun enam dan tidak dapat menyambung ke tingkatan satu kerana pihak sekolah tidak mengiktiraf sijil kelahirannya yang didakwa palsu.
“Dua lagi adik saya, Nur Syahidah dan Muhammad Azhar masing-masing belajar di tahun tiga dan lima di Sekolah Kebangsaan Bersia Lama (SKBL), Gerik sejak sebulan lalu, tetapi Siti Nur Aishah yang sepatutnya belajar di tahun satu juga tidak boleh bersekolah,” katanya.
Sementara itu, Mohd Irwandi berkata, dia bergegas ke Kuala Lumpur sebaik dihubungi pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Setapak Jaya membincangkan masalah pendaftaran pengenalan diri dan status kerakyatan adik berlainan ibu yang diragui kerana emak mereka warga asing.
Katanya, sehingga kini, Nur Syafiqah tidak dapat membuat MyKad serta tidak memperoleh status warga negara menyebabkan dia tidak dapat menyambung pengajian ke sekolah menengah dan tidak dapat dibintikan dengan nama Awang Bakar.
“Saya merayu kepada pihak berkenaan menyelesaikan masalah adik saya yang masih diragui status kewarganegaraan untuk membolehkan mereka belajar bagi menjamin masa depan.
“Malah, saya buntu memikirkan apabila diminta keluar dari rumah disewa sejak lebih setahun lalu dengan sewa RM70 sebulan selepas Aidilfitri ini kerana pemilik rumah mahu anaknya tinggal di rumah itu,” katanya.
Katanya, dia kini bekerja sebagai nelayan di Tasik Banding memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM700 sebulan yang pastinya tidak memadai memiliki rumah sendiri selain menanggung isteri, Nurasikin Angah, 20, keturunan Orang Asli suku Temiar dari Kemar, Banding serta anak mereka, Nur Ariana Tasya, 2.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada adik-beradik berkenaan boleh berbuat demikian menerusi alamat No 52, Kampung Bersia Lama, 33320 Gerik, Perak atau nombor akaun CIMB Mohd Irwandi 0810-0066633-52-0 atau hubungi 019-5437025.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aidilfitritungguibupulang/Article
No comments:
Post a Comment