Sunday, October 24, 2010

Melayu perlu transformasi, kata wakil S'gor




Okt 22, 10 7:07pm

Orang Melayu juga perlu melakukan transformasi ekonomi bagi mempertingkatkan kedudukan ekonomi mereka selaras dengan usaha kerajaan mentransformasikan ekonomi negara ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Wakil Umno Selangor, Ketua Umno Petaling Jaya Utara Datuk Ikwan Salim Sujak berkata antara usaha yang boleh dilakukan oleh orang Melayu ialah dengan melabur dalam amanah saham yang dijamin kerajaan, dan tidak berisiko.

Pada masa ini, masih ramai orang Melayu yang belum melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), manakala mereka yang sudah melabur masih jauh mencapai nilai pelaburan maksimum, katanya semasa membahas usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Kuala Lumpur hari ini.

"Setiap kali keluar saham baru, kuota untuk bukan bumiputera dalam sehari sudah habis tetapi kuota untuk bumiputera berbelas tahun belum lagi habis," katanya.

Ikwan Salim berkata pelaburan seperti ini memberi pulangan baik setiap tahun walaupun negara mengalami kegawatan ekonomi.

Malah, katanya. terdapat banyak bank yang menyediakan pinjaman kepada mereka yang memerlukan modal untuk melabur dalam saham amanah anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB), katanya.

Ikwan Salim dalam perbahasannya juga turut mencadangkan supaya skop perkhidmatan Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (APK) di bawah Bank Negara, diperluaskan kepada memberi khidmat nasihat kepada mereka yang baru hendak memulakan perniagaan.

Ini termasuk membantu mengenal pasti jenis perniagaan untuk diceburi seseorang individu serta jenis dana yang boleh mereka pinjam, katanya.

Beliau juga mencadangkan kepada kerajaan supaya mempercepatkan bayaran kepada kontraktor yang terlibat menyiapkan projek kerajaan kerana ada di kalangan mereka hingga berbulan-bulan belum menerima pembayaran.

Katanya kontraktor memerlukan pembayaran tersebut bagi meningkatkan aliran tunai yang mereka ada untuk melaksanakan projek seterusnya.

Beliau juga mencadangkan program pembangunan kerjaya diperhebatkan dari peringkat sekolah rendah hingga universiti, supaya pelajar dapat membuat pilihan kerjaya yang tepat untuk masa depan.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/146147

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...