BANGSAR: Seorang ahli perniagaan parah di kepala dan tangan akibat ditikam bertubi-tubi menggunakan sebatang besi dipercayai pemecah ais oleh perompak yang menceroboh rumahnya di Jalan Limau Purut, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, anak bongsu ahli perniagaan terbabit berusia 22 tahun yang berada di ruang tamu bersama bapanya itu turut ditikam di kepala.
Difahamkan, ketika kejadian dua lelaki berusia 20-an menyelinap masuk ke rumah banglo itu untuk mencuri barang kemas, namun kecewa apabila diberitahu tiada barang bernilai itu.
Anak kedua mangsa, Parul Girisha Kumar, 28, yang terselamat berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik sebelum mendengar pertengkaran di ruang tamu. “Saya ke ruang tamu dan terkejut apabila mendapati bapa dan adik terbaring berlumuran darah akibat ditikam bertubi-tubi di kepala,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Parul berkata, sejurus mengambil barang berkenaan, kedua-dua perompak terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah Proton Wira berwarna kelabu. Menurutnya, kejadian itu disaksikan jirannya yang melihat kelibat dua lelaki berlari keluar dan menaiki sebuah kereta selain kelihatan dua lagi suspek di dalam kereta terbabit.
“Jiran saya membawa bapa dan adik ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan, manakala saya menghubungi polis,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan kes itu dan usaha memburu keempat-empat suspek giat dijalankan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ahliperniagaan_anakditikam/Article/index_html
No comments:
Post a Comment