KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu lebih berjaga-jaga berikutan terdapat individu yang menggunakan kesempatan menyamar sebagai pegawai polis sebelum menyamun mereka.
Berdasarkan rekod, sejak bulan lalu hingga kini, empat kes menggunakan modus operandi itu dilaporkan di sekitar Bangsar di sini, membabitkan empat wanita termasuk eksekutif dan pekerja butik.
Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, hasil maklumat diberikan mangsa, kebiasaannya suspek akan menahan mana-mana wanita yang sedang memandu sambil menggunakan telefon bimbit.
“Selepas mengekori mangsa, suspek yang lengkap berseluar biru gelap seperti seluar anggota polis meminta mangsa berhenti sebelum mengeluarkan buku tertera logo polis dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang ketakutan hanya menuruti arahan ‘pegawai’ berkenaan sebelum kesempatan itu diambil suspek merampas telefon bimbit milik mangsa.
Katanya, berdasarkan laporan itu, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan seorang lelaki di Jalan Tun Razak di sini, kira-kira jam 2 petang pada 31 Oktober lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis mendapati lelaki terbabit berusia 31 tahun itu bekerja sebagai budak penghantar surat di sebuah syarikat di ibu kota.
Berdasarkan pemeriksaan lanjut, polis mendapati nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek adalah palsu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Malah, motosikal yang ditunggangnya juga didapati motosikal curi yang dilaporkan hilang di Dang Wangi.
“Polis yakin dengan penahanan lelaki itu dapat menyelesaikan beberapa kes menyamar sebagai anggota polis di Brickfields,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/articles/Rupa-rupanyaMatDespatch/Article
No comments:
Post a Comment