Monday, November 22, 2010

Tahi judi menangis

Tahi judi menangis

Oleh SHAMSUL MUNIR SAFINI
metahad@hmetro.com.my

LAKSANA TUGAS... Razali (kiri) menyoal salah seorang kaki judi yang ditahan.
LAKSANA TUGAS... Razali (kiri) menyoal salah seorang kaki judi yang ditahan.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tahi judi yang ditahan ketika leka bermain mesin judi menangis teresak-esak sejurus polis menelefon keluarganya.

Lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga pemandu bas dan mempunyai empat anak itu dikatakan sanggup menghabiskan ribuan ringgit pendapatannya semata-mata kerana ketagihan berjudi sejak beberapa bulan lalu.


Dia antara 33 kaki judi ditahan dalam ‘Ops Dadu’ yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sekitar dua lokasi di Danau Kota dan Taman Intan Baiduri, Kepong, malam kelmarin.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata dalam serbuan itu pihaknya merampas 183 komputer dan wang tunai RM3,013.


“Enam pekerja dan 28 pelanggan, termasuk seorang wanita warga asing, ditahan bagi siasatan lanjut.


“Premis terbabit mampu memperoleh pendapatan ribuan ringgit bagi tempoh sehari dan jumlah itu bertambah pada hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita warga asing terjatuh ke dalam lopak air berlumpur ketika cuba melarikan diri daripada polis dalam ‘Ops Noda’, awal pagi semalam.


Wanita berkenaan sebahagian daripada kumpulan wanita warga asing dari China yang tidak kisah dibasahi hujan bagi menawarkan khidmat seks kepada pelanggan yang datang ke Jalan Geylang, di sini.

Aktiviti mereka bukan hanya pada hari tertentu, malah setiap hari bermula jam 2 sehingga 6 pagi.


Jam 3 pagi semalam, 12 daripada mereka berjaya dicekup pihak berkuasa apabila kawasan itu digempur polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).


Dalam operasi yang turut dibantu D7 dari Ibu Pejabat Polis Daerah sekitar Kuala Lumpur itu, polis terpaksa mengejar mereka sebelum beberapa wanita terjatuh akibat licin sebelum dicekup.


Menurut Razali, kawasan berkenaan sering digempur dan dalam tempoh empat bulan ini saja empat serbuan dilakukan.


Katanya, wanita asing itu sering mengubah waktu operasi setiap kali lokasi mereka diserbu.


Menurutnya, kawasan terbabit sentiasa dipenuhi pelanggan kerana lokasinya terletak di sebuah medan selera dan dikelilingi beberapa unit flat murah.


“Mereka menggunakan hotel atau rumah tumpangan berhampiran bagi melampiaskan nafsu pelanggan dengan harga RM150 dan jika pelanggan ingin membawa mereka pulang, caj tambahan RM50 dikenakan.


“Walaupun terpaksa menanggung risiko ditangkap pihak berkuasa mereka tidak pernah serik, malah ada yang beberapa kali keluar masuk Malaysia berdasarkan cop pasport mereka,” katanya.


Menurutnya, enam daripada 12 wanita berkenaan mempunyai pasport, empat menggunakan pas pelajar manakala dua lagi tidak mempunyai dokumen masuk yang sah ke negara ini.


Beliau berkata, polis memerlukan kerjasama orang ramai dan pihak berkuasa lain bagi membantu membanteras aktiviti maksiat membabitkan warga asing di sekitar kawasan berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tahijudimenangis/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...