Thursday, December 16, 2010

Dewan Rakyat Kecoh Pembangkang Pertikai Keputusan Speaker

Khamis Disember 16, 2010

KUALA LUMPUR: Usul kerajaan yang mencadangkan supaya tiga anggota Parlimen pembangkang digantung enam bulan kerana menghina dewan akan dibawa pada pertimbangan Majlis Dewan Rakyat esok, ekoran kekecohan yang ditimbulkan wakil rakyat pembangkang di Dewan Rakyat, Rabu.

Usul yang akan dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan supaya Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) digantung enam bulan daripada menghadiri sidang dewan kerana menghina majlis berkenaan.

Selain usul itu, persidangan dewan juga akan membincangkan usul Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang mensyorkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) juga digantung enam bulan atas kenyataannya mengaitkan konsep 1Malaysia dan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide dengan kempen One Israel.

Yang diPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika ditemui pemberita selepas sidang berehat tengah hari tadi, mengesahkan usul penggantungan tiga wakil pembangkang itu boleh dikemukakan esok walaupun notis mengenainya hanya diberikan hari ini berdasarkan Peraturan Mesyuarat 27(3).

"Usul penggantungan tiga anggota Parlimen itu menepati Peraturan Mesyuarat 27(3) manakala usul untuk membincangkan syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengenai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dibenarkan kerana notis dibuat dua hari sebelum dibahaskan," katanya.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat itu, sekiranya Yang di-Pertua bersetuju, seseorang Menteri boleh mengemukakan sesuatu usul bagi faedah orang ramai dan mustahak dibahaskan, maka memadailah dikeluarkan pemberitahuan satu hari sahaja.

Terdahulu pada hari ini, persidangan Dewan Rakyat bertukar kecoh kira-kira satu jam setengah apabila anggota Parlimen pembangkang mempertikaikan keputusan Pandikar Amin mengenai usul tersebut.

Kekecohan mula tercetus apabila Azmin bangun mempersoalkan mengenai usul itu kerana didakwa tidak pernah diberitahu mengenai usul untuk merujuknya dan dua wakil pembangkang lagi ke jawatankuasa berkenaan.

Tanpa menghiraukan teguran Pandikar Amin, Azmin juga mempersoalkan kredibiliti Speaker yang disifatkan tidak membuat pertimbangan sewajarnya berhubung usul Sivarasa untuk membincangkan pendedahan Wikileaks.

"Gunakanlah peraturan yang betul...apa nak guna kuasa...apa sudah-sudah...sudah dihukum?," tingkahnya yang menyebabkan berlakunya perang mulut antara wakil rakyat pembangkang dan anggota Parlimen kerajaan yang mendakwa Azmin tidak menghormati Speaker.

Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pula mempertikaikan usul itu kerana dakwanya notis sama yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat semalam tidak menyebut mana-mana nama wakil rakyat pembangkang itu.

"Saya bukan mempertikaikan Peraturan Mesyuarat tetapi semalam (usul dengan nama) tidak ada...tetapi hari ini ada dan enam bulan...tanpa mereka dipanggil membela diri," katanya.

Isu itu turut menyaksikan Anwar dan Pandikar Amin saling bertukar 'kenyataan sinis' apabila Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu cuba mempertahankan 'orang-orangnya' dengan meminta Pandikar Amin mempertimbang semula usul itu.

"Tan Sri tidak bolehkah mereka ini diberi peluang untuk memberi penjelasan...kalau saya tidak apa kerana saya sentiasa terima hukuman, itu 'hak' saya Ketua Pembangkang...tetapi janganlah semata-mata menteri bawa usul, semuanya boleh," katanya.

Menjawab persoalan itu, Pandikar Amin berkata,:"Yang Berhormat Permatang Pauh, anda kenal saya...yang duduk di sini ini bukan boleh dipertakut, diugut atas dasar persahabatan. Anda Ketua Pembangkang, anda berhasrat menjadi perdana menteri, anda tahu bagaimana kerajaan bekerja, sekarang anda beritahu saya, tunjuk saya apa yang sepatutnya saya lakukan," katanya.

Kekecohan dan pertikaman lidah itu berterusan dengan pihak pembangkang enggan menerima sebarang penjelasan Pandikar Amin menyebabkan Speaker itu membiarkan anggota dewan saling bertelingkah sehingga dewan berhenti rehat tepat pukul 1 tengah hari tadi.

Sementara itu pada sidang media di lobi Parlimen, Anthony Loke Siew Fook (DAP-Rasah) mendakwa Barisan Nasional (BN) sengaja menggunakan kuasa majoriti mereka untuk menggugat kedudukan Pakatan Pembangkang, lebih-lebih lagi sekiranya usul untuk menggantung empat anggota Parlimen pembangkang itu berjaya esok.

"Kalau esok usul untuk menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga anggota parlimen Pakatan Rakyat (PR) lain diluluskan, ini akan memberi implikasi politik sangat besar kepada kedudukan PR dalam Dewan Rakyat," katanya.

Katanya dengan andaian lapan orang anggota Parlimen Bebas memihak kepada kerajaan, BN akan mendapat kembali majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat. Komposisi terkini Dewan Rakyat ialah BN (137), pembangkang 77 (DAP (29), PKR (25) dan PAS (24)), dan lapan anggota Parlimen Bebas. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/16/mstar_berita/20101215204443&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...