Saturday, December 11, 2010

Khir Toyo korban PRU 13

Muhayat Jasmin

JERAI, 10 Dis: Pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed KhirToyo merupakan agenda terancang Barisan Nasional (BN) bagi mencapai aspirasi mereka untuk menang menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan datang, dakwa Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar.

Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, Khir menjadi mangsa politik BN yang terpaksa dikorbankan menjelang pilihan raya yang akan datang.

"BN cuba pamerkan imej bersih mereka dengan mengorbankan Ketua Pembangkang dalam Dun Selangor. Melalui cara ini BN mahu buktikan kepada rakyat mereka seolah-olah telus dalam membasmi rasuah dan penyelewengan," katanya.

Justeru beliau mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu dengan sendiwara ini dan menggesa menolak BN dalam pilihan raya akan datang untuk memastikan perubahan lebik baik berlaku dalam negara.

Katanya, BN tidak mampu menyelesaikan masalah rasuah kerana mereka telah bergelumang terlalu lama dengan penyelewengan yang melibatkan sebahagian besar dari pemimpin mereka.

"Penyelewengan - penyelewengan yang berlaku sejak dahulu khususnya waktu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri tidak pernah pernah dibongkar dan diambil tindakan walaupun berpuluh - puluh aduan maupun laporan polis dibuat.

"Kes Khir Toyo ini langsung tidak menunjukkan mereka (BN) serius melakukan perubahan, ini hanya kes terpilih sama seperti beberapa kes sebelum ini yang disendiwarakan untuk tujuan politik," ujar beliau mengulas isu Khir Toyo dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah.

Khir Toyo, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Bagaiamanapun beliau dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni yang turut didakwa tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut yang dibaca di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh hari ini.

Shamsuddin didakwa di bawah akta yang sama serta satu tuduhan tambahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Khir Toyo.

Dipihak Pakatan Rakyat khususnya, pendakwaan terhadap Khir Toyo masih dilihat sebagai usaha Umno dan BN memulihkan imejnya menjelang saat-saat pilihan raya umum yang dijangka hanya tinggal beberapa bulan lagi.

Pendakwaan terhadap Khir Toyo disifatkan sama dengan pendakwaan terhadap Eric Chia dan Kasitah Gaddam yang pernah diwar-warkan sebagai kes berprofil tinggi untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan menentang rasuah ketika diawal pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Dalam kes Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, Eric Chia yang dikatakan skandal penggunaan wang rakyat terbesar yang pernah dibicarakan iaitu melibatkan RM76.4 juta, berakhir dengan keputusan mengejutkan rakyat apabila mahkamah membebaskan beliau.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain yangt turut mengulas perkembagan kes Khir Toyo berkata, strategi politik BN sudah boleh dibaca iaitu menjadikan satu atau dua jerung besar sebagai mangsa menjelang pilihan raya.

"Walau bagaimana pun rentak tari BN, rakyat tidak akan mudah terpedaya. Yang jelas Umno dan BN semakin terdesak untuk mengekalkan kuasa pemerintahan dalam negeri dan juga negara.

"Pakatan Rakyat (PR) optimis, kekuatan yang terhad dimiliki oleh Umno dan BN itulah yang memaksa mereka bertindak sedemikian terhadap Khir. Bagi Umno dan BN siapa yang menjadi mangsa tidak menjadi keutamaan mereka. Kemenangan dengan apa jua cara sepertimana yang mereka lakukan di Perak adalah agenda utama, " katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29784:khir-toyo-korban-pru-13&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...