JURULATIH Indonesia, Alfred Riedl akhirnya terpaksa akur untuk kembali berpijak di bumi nyata tatkala jurulatih Malaysia, K. Rajagobal pula terus dengan sikap tenang dan rendah dirinya.
Biarpun gembira dengan kejayaan membelasah Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 malam tadi, Rajagobal masih belum mahu berasa puas kerana beliau sedar tugas mereka belum selesai.
Beliau mahu menyelesaikan dahulu baki 90 minit aksi final kedua di Jakarta, Rabu ini.
"Final belum berakhir lagi. Kita tetap kena fokus baki 90 minit aksi di Jakarta. Tetapi secara jujur memang saya optimis kita boleh menang di Kuala Lumpur ini.
"Ini kerana, Indonesia menang kesemua lima perlawanan sebelum ini hanya dengan beraksi di Jakarta. Ini aksi pertama mereka di gelanggang luar.
"Kita menang 3-0. Tetapi sepatut- nya boleh 4-0 kerana jelas saya nampak Kunanlan dijatuhkan pada masa kecederaan dan sepakan penalti wajar diberi," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Ditanya adakah Malaysia akan beraksi secara bertahan pada Rabu ini, Rajagobal berkata ringkas: "Tidak. Kita akan main seperti biasa. Kita takkan boleh bertahan sepanjang 90 minit."
Sementara itu, nada Riedl pada sidang media tersebut seakan mengakui kehebatan pasukan Malaysia tetapi tetap mengharapkan keajaiban pada aksi kedua nanti.
"Tahniah Malaysia kerana menang. Perlawanan ini biasa sahaja sehinggalah Malaysia mendapat gol pertama.
"Ia telah mengubah segalanya. Malaysia bertambah yakin manakala pertahanan kami semakin keliru.
"Memang aksi terhenti pada minit ke-53 itu memberi kesan kepada kami. Tetapi ketinggalan 0-1 itu lebih memberi kesan sebenarnya.
"Untuk aksi kedua di Jakarta, memang tampak cukup sukar. Tetapi apa pun boleh terjadi, mungkin kami boleh menang 4-0 atau menang 5-1 seperti sebelum ini," jelas Riedl.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm
No comments:
Post a Comment