Wednesday, April 7, 2010

Nostalgia kelahiran Najib Tun Razak




ADA apa dengan Daerah Lipis? Namun kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tatkala beliau menjejakkan kaki di halaman sebuah rumah di atas sebuah bukit di Kuala Lipis, wajahnya kelihatan sayu dan hampir menitiskan air mata.

Kepulangan Najib selama kira-kira 30 minit ke rumah banglo dua tingkat di Bukit Bius pada 20 Mac lalu menggamit kenangan silam apabila mengenangkan beliau dibesarkan di tempat bersejarah itu oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan ibunya, Tun Rahah Mohd. Noah dengan penuh kasih sayang.

Najib diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Rahah tiba di rumah berkenaan sekitar pukul 1.25 petang. Mereka meluangkan masa menatap gambar-gambar di dinding yang menggamit nostalgia semasa Najib dibesarkan di situ kira-kira 57 tahun lalu.

Najib kemudiannya diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Lipis, Datuk Abu Jamal Nordin mengenai rumah berkenaan yang akan dijadikan Muzium Tun Razak.

Abu Jamal menjelaskan, perbelanjaan menaik taraf rumah berkenaan menelan belanja RM1 juta. Kerja-kerja konservasi bermula sejak 13 November 2007 dan siap pada 12 Mei 2008 di bawah program Tapak Warisan Negara. Kini rumah tersebut menjadi salah satu produk pelancongan di Lipis.

Kata Abu Jamal, Majlis Daerah Lipis (MDL) memerlukan peruntukan sebanyak RM480,000 lagi untuk menjalankan kajian, pengumpulan artifak kostum dan kerja-kerja membina galeri bagi muzium berkenaan.

Dalam lawatan itu, Rahah juga sempat menceritakan kenangan beliau dan suaminya yang juga Perdana Menteri Kedua mendiami rumah tersebut di antara tahun 1950 sehingga tahun 1953.

Rumah banglo kayu yang pernah menjadi tempat Najib bertatih kini adalah lokasi bersejarah kepada 91,000 penduduk Lipis. Ia menjadi saksi kepada sejarah kelahiran wira negara.

Halaman rumah itu juga menyaksikan zaman kanak-kanak yang dilalui oleh Najib bersama bapanya. Bahkan rumah tersebut memahat satu kenangan yang cukup berharga dalam jiwa Perdana Menteri.

Hari ini, rumah tersebut menjadi salah satu daripada bangunan bersejarah dalam senarai Tapak Warisan Negara untuk tatapan rakyat Malaysia.


PENDUDUK Kuala Lipis bangga dengan kemajuan dan perubahan daerah tersebut pada hari ini.


Khazanah negara

Bukit Bius yang menempatkan rumah kelahiran Najib pula pernah terkenal sebagai kawasan perumahan pegawai-pegawai tinggi kerajaan termasuk kediaman Menteri Besar Pahang ketika itu. Ia sememangnya sebuah lokasi yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku merangkap Ketua UMNO Lipis , Datuk Abdul Rahman Mohamed berkata, keluarga Tun Razak pernah tinggal di rumah tersebut ketika bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1950-an.

Menurut sejarah, selepas Tun Razak berkahwin dengan Rahah keluarga pemimpin itu tinggal di rumah tersebut sehingga Najib dan adiknya Ahmad Johari dilahirkan.

"Nilai sejarah di rumah itu sangat penting untuk tatapan generasi akan datang kerana ia menyaksikan bekas Perdana Menteri Kedua tinggal di situ dan kelahiran Perdana Menteri Keenam di rumah yang sama.

"Bagi memelihara nilai sejarahnya, Kerajaan Negeri Pahang menjaga dan membaik pulih rumah itu pada setahun lalu untuk dijadikan sebagai salah satu daripada 14 Bangunan Warisan Negara di Lipis," jelasnya ketika dihubungi.

Mengimbas sejarah Lipis yang menyimpan pelbagai khazanah negara dan pernah terkenal sebagai kawasan lombong emas, daerah itu membariskan ramai pemimpin ulung masyarakat Melayu termasuk episod perjuangan Mat Kilau dan Datuk Bahaman menentang tentera Inggeris pada 1892.

Malah sebuah Sekolah Agama Madrasatul Firdaus di Kuala Lipis yang pertama dan tertua di Pahang dibina sekitar tahun 1800-an juga telah melahirkan ramai tokoh serta pemimpin agama tempatan.

Kesinambungan kepimpinan yang bertapak di Lipis diteruskan dengan legasi Tun Razak yang dianugerahkan gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar Ke-10 oleh Sultan Pahang pada 1 November 1950.

Tun Razak kemudian bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang berpusat di Lipis sebelum menjadi Perdana Menteri Kedua. Malah, Lipis juga menyaksikan kelahiran legasi daripada keluarga Tun Razak iaitu Najib yang menerajui kerajaan pada hari ini.


KEDIAMAN Residen British Pahang, Hugh Clifford yang dibina pada tahun 1922 kini menjadi rumah persinggahan pelawat di Bukit Residen, Bandar Kuala Lipis.


Bandar diraja

Bandar yang mempertemukan di antara Sungai Jelai dan Sungai Lipis yang menghimpunkan 11 mukim itu sebenarnya menyimpan banyak khazanah berharga dalam mewarnai sejarah negara termasuk pernah menjadi ibu negeri pertama bagi negeri Pahang di antara tahun 1898 hingga tahun 1955 sebelum berpindah ke Kuantan.

Kuala Lipis juga pernah menjadi bandar diraja Kesultanan Pahang sebelum berpindah ke Pekan selain menempatkan ibu pejabat Residen British, Sir Hugh Clifford ketika era penjajahan British di Tanah Melayu.

Kesan peninggalan penjajahan British juga masih boleh dilihat di Kuala Lipis terutama lapan bangunan kolonial yang kekal terpelihara untuk tatapan generasi merdeka.

Antara bangunan bersejarah lain yang terdapat di Kuala Lipis ialah kediaman Residen British, Sir Hugh Clifford di Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907), Istana Hinggap (1926), Pejabat Pos Kolonial (1910), Asrama Jururawat Kolonial (1926) dan Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis era kolonial (1919) serta batu bertanda '0' yang menjadi titik pusat menyukat perbatuan negara.

Bangunan-bangunan bersejarah yang dikomersial sebagai destinasi pelancongan memberi impak positif terhadap penduduk tempatan serta memberi peluang kepada mereka untuk terlibat sama dalam agenda pembangunan di daerah Lipis.

Pembangunan Lipis

Faedah itu juga memberi kesan kepada setiap kelompok masyarakat termasuk penduduk Orang Asli di sekitar Lipis yang terlibat secara langsung dalam kegiatan pelancongan.

Tok Batin Pos Betau, Ahmad Selalu, 47, berkata, kesan sejarah dan pembangunan moden yang rancak di bandar Lipis membolehkan masyarakat Orang Asli terlibat sama dalam menjana ekonomi keluarga masing-masing.

"Kami juga mengambil peluang menjual hasil kraftangan dan hasil hutan kepada pelancong yang hadir ke Lipis. Ia juga secara langsung membantu kami meningkatkan taraf hidup keluarga," katanya.

Dalam pada itu peneroka Felda Sungai Koyan 1, Kholid Hussain, 63, pula berkata, pembangunan di daerah itu berkembang selaras dengan pembangunan negara demi keselesaan penduduk.

"Jika dua dekad lalu, hidup peneroka boleh dikatakan hanya cukup-cukup makan, tetapi sekarang semua sudah berubah hasil daripada pembangunan negara.

"Ia juga disebabkan langkah kerajaan membangunkan Lipis melalui pelbagai peluang ekonomi. Kini, peneroka di Lipis sudah mampu hidup senang," kata beliau.


NAJIB TUN RAZAK mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak ketika bertemu rakan sepermainan beliau Ngah@Karim Kassim (kanan) ketika melawat rumah kelahirannya di Kuala Lipis, Pahang.


Sementara itu, Pengerusi Gabungan Perkumpulan Wanita (GPW) Sungai Koyan, Sapiah Mohamad, 60, berkata, pelbagai program galakan yang diberikan kerajaan di sekitar Lipis juga mampu bertindak sebagai input kepada golongan wanita untuk berkecimpung dalam kegiatan perniagaan.

"Ini termasuklah menyediakan tempat berniaga yang sempurna bagi kemudahan peniaga yang menjadikan daerah Lipis sebagai lubuk rezeki.

"Kemudahan-kemudahan yang disediakan itu menaikkan lagi imej daerah ini sebagai kawasan bersejarah yang terpelihara dan berkembang seiring dengan pembangunan," katanya.

Ujar beliau, Lipis kini berubah maju dengan memperlihatkan banyak kemudahan disediakan bagi keselesaan penduduk tempatan dan juga pengunjung luar.

"Kalau dibandingkan dengan lima dekad lalu, penduduk di Lipis menjadikan sungai sebagai laluan utama untuk ke daerah lain. Tapi sekarang, Lipis sudah berubah dengan kemudahan jalan raya dan sebagainya.

"Kehidupan penduduk di Lipis juga sudah semakin senang kalau dibanding dengan dahulu. Lipis bukan sahaja berkembang maju, tapi nilai sejarahnya yang kekal terpelihara," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...