Mesir yang menyaksikan satu perubahan politik pada masa ini membawa tajuk demokrasi dan hak asasi manusia dalam tajuk utama berita dunia hari ini.
Suasana yang wujud di Mesir dan seluruh Asia Barat ketika ini semakin menjadikan demokrasi dan hak asasi manusia sebagai agenda utama dalam politik rantau terbabit dan juga seluruh dunia.
Dalam hal ini, melalui debat di media global, peranan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar pendukung ide kebebasan demokrasi dan hak asasi manusia mula kelihatan dengan jelas, walau apapun penilaian sebenar peranan AS di Asia Barat.
Perkembangan di Tunisia dan Mesir kini mencetuskan kembali gelombang perubahan akibat protes rakyat yang kali terakhir berlaku di bawah Presiden George W Bush.
Sejak Barack Obama memenangi pilihan raya dan menjadi presiden AS pada 2009, agenda mempromosikan demokrasi seperti yang ditafsirkan daripada satu ucapan Presiden Woodrow Wilson telah bermula.
Agenda di bawah Obama ini dimulakan dengan satu bentuk yang lebih bergaya dan menarik, menjarakan diri daripada kempen “menyebarkan demokrasi” di bawah Bush.
Pada asasnya, usaha penyebaran demokrasi seperti dilaksanakan melalui dasar luar AS bersandarkan pada 14 perkara yang digariskan oleh Wilson suatu masa dahulu.
Walaupun melalui tafsiran yang berbeza-beza, kempen menyebarkan demokrasi, dengan asas hak asasi manusia telah menjadi satu dimensi penting dasar luar AS sejak Perang Dingin.
Di bawah Presiden Jimmy Carter, hak asasi mula menjadi satu tunjang penting dalam dasar luar AS, dalam usaha memenangi sokongan dan ikutan dalam persaingan dengan kuasa Komunis.
Sehingga hari ini, hak asasi manusia dan demokrasi yang menjadi salah satu agenda paling menarik dalam politik antarabangsa, dengan Washington mengambil peranan kepimpinan dalam hal ini.
Demokrasi dan hak asasi manusia juga menjadi alat dala diplomasi untuk mencapai pelbagai tujuan, termasuk sebagai kempen menentang negara bukan sahabat.
Melalui kepimpinan moral dalam isu ini, AS membina dan mengukuhkan pengaruhnya, menjelaskan kepentingan hak asasi manusia dan demokrasi dalam diplomasi AS di seluruh dunia.
Melalui kepimpinan ini juga AS memperolehi satu senjata dalam persaingan dengan kuasa lain seperti China dan Rusia, dalam usaha mengukuhkan pendekatan yang dikenali sebagai “konsensus Washington.”
Melalui badan-badan seperti National Endowment for Democracy (dengan International Republican Institute dan National Democratic Institute for International Affairs di bawahnya), Freedom House dan sebagainya, kepimpinan moral AS dalam agenda demokrasi dan hak asasi manusia terus diperkukuhkan.
Di luar Jabatan Negara, pertubuhan-pertubuhan ini menjadi tunjang yang melaksanakan dasar luar AS.
Secara praktiknya, ide yang disebarkan oleh AS itu diletakkan dalam satu pakej yang bukan sahaja mengandungi kebebasan demokratik dan hak asasi tetapi juga dasar ekonomi pasaran bebas yang direstui kuasa-kuasa Barat.
Negara-negara di bawah naungan China dan Rusia menjadi medan persaingan kuasa AS dengan dua kuasa yang jauh kurang demokratik tersebut.
Dalam banyak kes, ide demokrasi, hak asasi manusia dan pasaran bebas menjadi sangat menarik bagi negara-negara yang dinaungi kuasa tidak menyanjung ide kebebasan seperti Barat.
Malah, di negara Iran, kuasa yang menganggap dirinya sebagai satu kuasa yang cukup besar untuk menjadi penaung dalam sistem global, tarikan ide kebebasan Barat turut mampu menggugat, sepeti disaksikan dalam pilihan raya presiden pada 2009.
Revolusi di Mesir dan Tunisia hakikatnya merupakan kesinambungan perubahan-perubahan rejim yang disaksikan di rantau Asia Tengah dan Kaukasus pada separuh pertama dekad lalu.
AS sebagai penyebar demokrasi tetap mempunyai peranan, melalui hubungan dengan masyarakat sivil, pembangkang dan pelbagai kumpulan di negara-negara yang mengalami kebangkitan rakyat itu.
Revolusi warna dan simbol yang berlaku di rantau itu dan juga di seluruh dunia terus diletakkan di bawah tajuk yang sama sehingga hari ini.
Sejak 2003, Asia Tengah dan Kaukasus menyaksikan satu demi satu diktator tumbang, dalam satu siri peristiwa berpofil tinggi yang dikemukakan sebahagian besar media Barat sebagai peralihan bermakna daripada autoritarianisme kepada demokrasi pasaran bebas.
Bermula 2003, tercetus Revolusi Ros di Georgia, Revolusi Jingga di Ukraine pada 2004, dan Revolusi Tulip di Kyrgyzstan pada 2005.
Tidak jauh dari situ, berlaku Revolusi Hijau di Iran pada 2009. Terbaru dunia menyaksikan Revolusi Jasmin di Tunisia dan kebangkitan di Mesir yang masih belum mempunyai satu nama yang dipersetujui.
Kesemua kebangkitan ini dikemukakan sebagai desakan menuntut kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia dan juga ekonomi pasaran bebas, dengan dimensi geopolitik dan persaingan kuasa besar menduduki tempat kedua.
Hal yang sama boleh diperhatikan di Tunisia dan Mesir, yang ekonomi dan kebebasan menjadi perhatian utama, dan juga cerita yang paling menarik seperti tindakan membakar diri.
Persoalan moral dalam isu ini dimulakan dengan pemimpin zalim tersebut, dengan isu sokongan kuasa besar terhadap rejim itu sehingga membolehkan mereka bertahan berdekad-dekad agak diabaikan.
Kenyataan-kenyataan dari Washington berhubung perubahan di Mesir tetap ditunggu-tunggu sejak awal lagi, membei kredibiliti dan peranan kepimpinan kepada kuasa besar itu dalam pembentukan Mesir baru pasca-Mubarak.
Isu menyebarkan demokrasi kini kembali muncul dengan prominen dalam debat dasar luar AS, menegaskan bahawa agenda ini, walaupun kontroversi, akan terus menjadi satu asas dasar luar negara itu.
Dengan presiden yang berwajah menarik untuk ditonjolkan kepada dunia tarikan nilai-nilai demokrasi yang terus mendapat sambutan, usaha mempromosi demokrasi jelas sekali terus dilaksana di bawah Obama, dengan hanya sedikit perubahan berbanding pentadbiran Republikan sebelumnya.
Pelaksanaan agenda ini, walaupun sarat dengan komplikasi moralnya, tidak dapat dielakkan daripada diteruskan, kerana isu demokrasi dan hak asasi manusia ini memberi satu kelebihan moral kepada kuasa besar itu untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam persada global yang semakin mencabar dengan peningkatan kuasa-kuasa lain kini.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30980:haris-zalkapli-mesir-dan-kempen-demokrasi-global&catid=94:global2&Itemid=135
No comments:
Post a Comment