Wednesday, February 16, 2011

Iran, Jordan turut dipantau


KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengumpul data lengkap mengenai rakyat Malaysia di negara-negara bergolak termasuk Iran, Jordan, Yemen, Bahrain dan Algeria sebagai langkah awal sekiranya berlaku sesuatu tidak diingini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata, bagi membolehkan pemantauan rapi dijalankan, semua pihak termasuk pekerja dan pelajar Malaysia di negara terlibat perlu memaklumkan mengenai butiran diri mereka kepada kedutaan di negara-negara terlibat.

Katanya, ibu bapa dan sanak saudara di negara-negara itu juga boleh membantu kerajaan dengan menyalurkan maklumat melalui Wisma Putra bagi melengkapkan data alamat terkini rakyat Malaysia.

"Kita tidak mempunyai maklumat lengkap berapa jumlah rakyat yang terlibat termasuk pelajar dan sedang berusaha ke arah tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi semasa yang melanda beberapa negara Asia Barat lain selepas kejatuhan kerajaan Mesir yang dipimpin oleh Hosni Mubarak.

Hosni telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Mesir Jumaat lalu selepas mendapat desakan hebat daripada rakyat negara tersebut.

Rentetan kejayaan rakyat Mesir menumbangkan Hosni yang memerintah selama 30 tahun itu, rakyat beberapa negara seperti Yemen, Algeria, Iran, Bahrain dan Jordan turut mengadakan protes antikerajaan secara besar-besaran.

Anifah berkata, kerajaan sekarang sentiasa memantau perkembangan semasa sebelum mengambil apa-apa tindakan wajar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...