Monday, February 7, 2011

Nikah bawah umur: Boleh terima atau tidak?

Nikah bawah umur: Boleh terima atau tidak?
Feb 7, 11 3:39pm

Siti Nur Zubaidah Hussin baru berusia 11 tahun ketika dia dipaksa berkahwin oleh bapanya dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan pada Februari 2010.

Bapanya Hussin Mat Salleh ialah pengikut kumpulan tabligh yang diyakinkan oleh ketuanya Shamsuddin Che Derahman juga digelar "Sudin Ajaib" bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Akibat perkahwinan tanpa rela, kanak-kanak pintar darjah lima itu mengalami tekanan perasaan yang hebat.

Dia ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera Batu Caves, beberapa hari selepas suaminya menghilangkan diri bersamanya.

Kes Siti Nur Zubaidah bukanlah yang pertama dan terakhir fenomena pernikahan bawah umur di negara ini kerana masih ada lagi remaja yang berkahwin dengan kerelaan hati malah ada juga yang terpaksa berkahwin kerana hamil di luar nikah.

Pusat Kajian Wanita Antarabangsa (ICRW) pada tahun 2005 memberikan definisi pernikahan bawah umur sebagai pernikahan atau penyatuan antara dua orang yang mana salah seorang ataupun kedua-duanya berusia kurang daripada 18 tahun.

Kecil jangan dipandang ringan

Sehingga kini, kadar peratusan pernikahan di bawah umur di Malaysia masih kecil iaitu 0.725 peratus, tetapi angka ini tidak boleh dipandang enteng kerana pernikahan itu boleh memberikan kesan positif iaitu kebahagiaan ataupun negatifnya, perceraian terhadap kanak-kanak itu.

Pada dasarnya, perkahwinan adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan berdasarkan fitrah itulah, Allah menciptakan manusia, tetapi sejauh manakah pernikahan bawah umur diterima oleh masyarakat yang semakin maju pada masa kini?.

Justeru, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menganjurkan Seminar Kebangsaan Undang-Undang Keluarga Islam "Nikah Bawah Umur : Patut atau Tidak?" di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Zulkifli Mohamad Al-Bakari berkata terdapat nas yang membolehkan perkahwinan dengan kanak-kanak di bawah umur sama ada daripada Al-Quran, al-Sunnah dan ijma'.

Bagaimanapun, beliau berkata penggubalan undang-undang ataupun peruntukan tertentu yang terkandung dalam undang-undang perlu ada bagi mengawal perkara itu dan untuk memastikan pihak yang terlibat terutamanya pihak perempuan mendapat perlindungan dan jaminan.

Matlamat perkahwinan

"Syeikh Abdullah al-Manie, seorang daripada anggota Majlis Ulama' Kanan Saudi juga berpandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan gadis bawah umur.
"Pandangan beliau ini timbul sebagai reaksi kepada perkahwinan seorang gadis berumur 12 tahun dengan seorang lelaki berumur 80 tahun di Buraidah, Arab Saudi," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Syarak'.

Zulkifli berkata walaupun hukum berkahwin dengan gadis kecil adalah harus, tetapi dengan memahami maksud dan matlamat perkahwinan, jelas menunjukkan sewajarnya kanak-kanak yang dikahwini mestilah dalam usia yang mampu menanggung hubungan kelamin.

"Ini kerana bersama pasangan merupakan matlamat perkahwinan, justeru melihat kepada adat, sewajarnya tidak dibenarkan perkahwinan di bawah umur kecuali melihat kes yang tertentu sahaja," katanya.

Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam, Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 dan enakmen-enakmen seumpamanya di peringkat negeri memperuntuk umur minimum untuk berkahwin.

Akta ini menyatakan bahawa tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syariah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Bukan budaya Malaysia

Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Prof Datuk Zaleha Kamaruddin berkata negara lain juga mempunyai perkahwinan di bawah umur malah dalam jumlah yang tinggi, justeru sering kali persoalan timbul terhadap Malaysia yang rata-rata masyarakatnya mengecam perkahwinan bawah umur.

"Kenapa Malaysia? Jawapan yang ditemui kerana Malaysia adalah model negara Islam, maka ia tidak sepatutnya menggalakkan perkahwinan di bawah umur.

"Kerana Malaysia negara maju, perkahwinan di bawah umur dilihat sebagai satu amalan yang ketinggalan zaman," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Undang-Undang'.

Zaleha berkata berkahwin di bawah umur bukanlah budaya di Malaysia pada masa kini dan ibu bapa sepatutnya menggalakkan anak-anak mereka untuk belajar pada usia itu dan bukannya untuk berkahwin.

"Dengan perkembangan dunia kini dan dengan semangat membudayakan ilmu, kita tidak sepatutnya menggalakkan remaja kita berkahwin di bawah umur melainkan dalam hal-hal yang tidak dapat dielakkan," katanya.

Beliau berkata mungkin Malaysia harus belajar dari pengalaman India di mana undang-undang untuk menyekat perkahwinan di bawah umur adalah seperti "harimau yang tidak bergigi".

"Peratusan perkahwinan di bawah umur menjadi sedikit rendah di India dan Pakistan bukan kerana kewujudan undang-undang itu, tetapi ia kerana usaha menggalakkan gadis-gadisnya menuntut ilmu sehingga tertubuhnya universiti khas untuk wanita," katanya.

Implikasi kesihatan

Pernikahan bawah umur juga didapati mempunyai implikasi terhadap kesihatan remaja khususnya yang berkaitan dengan aspek reproduktif dan seksual, selain emosi serta mental mereka.

Pakar Perunding Obstetriks dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata kebanyakan remaja perempuan yang berkahwin akan hamil dalam usia yang muda dan berhadapan dengan banyak komplikasi dan masalah kesihatan semasa hamil (antenatal), ketika melahirkan (intrapartum) dan juga selepas kelahiran (post-partum).

"Kadar kematian ibu dan bayi juga meningkat dalam kalangan remaja belia yang hamil, bukan sahaja kerana komplikasi semasa proses kehamilan dan kelahiran, malahan juga disebabkan faktor persekitaran yang menyukarkan remaja terbabit mendapatkan kemudahan dan jagaan kesihatan yang optimum," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Perubatan'.

Dr Harlina Halizah berkata kelompok ini tidak mendapat nasihat yang tepat mengenai kontrasepsi dan perancangan keluarga di samping juga kesukaran membeli sendiri ubatan yang diperlukan untuk tujuan kontrasepsi.

"Selain itu, pemakanan yang kurang memuaskan juga boleh menyebabkan kekurangan zat, kepucatan dan malnutrisi kepada remaja yang terbabit, perkahwinan bawah umur juga dikaitkan dengan kadar keganasan rumah tangga yang tinggi yang menyebabkan kesihatan emosi dan mental remaja terganggu," katanya.

Beliau berkata remaja yang bernikah di usia muda terpaksa berhadapan dengan realiti hidup berkeluarga yang memerlukan kemahiran pembuatan keputusan dan penyelesaian masalah yang berkesan, pengurusan kewangan dan emosi, kematangan dan keupayaan berkomunikasi yang baik.

"Kesukaran dan kepayahan hidup boleh mengakibatkan kesan mendalam terhadap kesihatan mental, emosi, sosial dan spiritual. Perkahwinan juga tidak dapat bertahan lama," katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/155400

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...